Kedah bida tuan rumah Sukma 2022

Mohd Asmirul (duduk, tengah) bergambar bersama sebahagian penerima peruntukan pembangunan sukan di Wisma Darul Aman hari ini.
Mohd Asmirul (duduk, tengah) bergambar bersama sebahagian penerima peruntukan pembangunan sukan di Wisma Darul Aman hari ini.
A
A
A

KEDAH secara rasmi membida untuk menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2022 selepas kali terakhir negeri itu menjadi hos pada tahun 2006, lapor WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR.

Exco Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Keusahawanan Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, Kedah bersedia menganjurkan temasya sukan dwitahunan itu sekiranya terpilih.

Bagaimanapun, beliau berkata, Kedah perlu berdepan dengan beberapa negeri lain iaitu Selangor, Sabah dan Pulau Pinang yang turut mahu menganjurkan Sukma 2022.

"Saya telah berbincang dengan pengurusan Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah dan mereka menyatakan bersedia sekiranya terpilih. Kita tahu sedang berdepan dengan negeri-negeri kaya yang juga mahu menjadi tuan rumah dan sebab itu, kita perlu kerja lebih keras agar ia dapat menjadi kenyataan.

"Kali terakhir Sukma diadakan di Kedah 13 tahun lalu, maka ini adalah peluang untuk menaik taraf kemudahan sukan di Kedah. Kita sudah ada beberapa kemudahan sukan yang sedia ada cuma ia perlu dinaik taraf sahaja, jadi kos yang diperlukan tidak terlalu banyak," katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

Terdahulu, Mohd Asmirul mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Sukan Negeri Kedah 2019 yang turut dihadiri semua wakil majlis sukan daerah dan persatuan sukan.

Beliau turut menyerahkan peruntukan pembangunan sukan akar umbi Majlis Sukan Daerah (MSD), bantuan program pembangunan sukan luar musim Majlis Sukan Sekolah Kedah (MSSK) dan bantuan pentadbiran Persatuan Sukan Negeri Kedah dengan jumlah keseluruhan RM500,000.

Mengulas mengenai sasaran Kedah pada Sukma 2020 di Johor, Mohd Amirul berkata, MSN Kedah menysasarkan sebanyak 25 pingat emas.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, antara acara sukan yang menjadi sasaran kontinjen Kedah untuk meraih pingat emas adalah menerusi perahu layar, angkat berat, basikal, skuasy dan muay thai.

"Kali ini kita juga ingin beri fokus kepada sukan olahraga dan renang kerana kedua-dua acara sukan itu menawarkan jumlah pingat yang banyak. Sebab itu, kita akan wujudkan sistem 'bapa angkat' di mana pengajar yang diambil akan membantu atlet Kedah dalam kedua-dua acara sukan ini," jelasnya.