MU digesa rekrut 'otai' berbisa

Solskjaer
Solskjaer
A
A
A

PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer digesa mendapatkan khidmat beberapa pemain berpengalaman apabila pintu perpindahan kembali dibuka pada Januari depan.

Menurut bekas bintang United, Gary Neville, Solskjaer harus segera merekrut lebih ramai tonggak berpengalaman jika mahu menyelamatkan kariernya di Old Trafford.

"Ole perlu membelanjakan wang kelab pada Januari nanti demi kebaikan dirinya sendiri. Beliau perlu mendesak pengurusan kelab untuk mendapatkan dua atau tiga pemain berpengalaman.

"Ole harus mementingkan diri sendiri, beliau harus perlu bertindak kejam seperti (Jose) Mourinho atau (Antonio) Conte dan menghabiskan wang kelab itu bagi melindungi dirinya.

"Letakkan dua atau tiga tonggak berpengalaman dalam kalangan kumpulan pemain-pemain muda yang ada sekarang dan mereka akan menyerlah," katanya.

Daripada 13 perlawanan liga yang diharungi setakat ini, anak-anak buah Solskjaer hanya mampu merekodkan empat kemenangan selain lima seri dan empat kekalahan.

Solskjaer telah menaruh kepercayaan kepada beberapa pemain muda sepanjang tempoh membimbing United, namun Neville berharap bekas rakan sepasukannya itu membawa masuk beberapa muka baharu yang lebih berpengalaman.

"Ada dua perkara yang dapat saya rumuskan. Pertama, Ole tidak mempunyai pemain senior yang menetapkan penanda aras buat pemain muda sehingga membuatkan mereka tidak sedar apakah jangkaan yang diperlukan dalam pasukan.

Artikel Berkaitan:

"Kedua, mereka tidak tahu bagaimana mengadaptasi corak permainan EPL. Mereka tidak tahubermain di Old Trafford dan di gelanggang lawan adalah berbeza. Mereka tidak memiliki pengalaman atau kematangan," jelasnya.

Spekulasi kini bertiup kencang mengatakan kerusi 'panas' Solskjaer bakal diisi bekas pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino yang dipecat minggu lalu.