China desak AS batal undang-undang hak asasi Hong Kong

Grafiti bertulis 'fight for freedom' dilihat pada dinding kampus Universiti Politeknik Hong Kong (PolyU) di mana puluhan penunjuk perasaan prodemokrasi masih bertahan. - Foto AFP
Grafiti bertulis 'fight for freedom' dilihat pada dinding kampus Universiti Politeknik Hong Kong (PolyU) di mana puluhan penunjuk perasaan prodemokrasi masih bertahan. - Foto AFP
A
A
A

BEIJING - China dilaporkan memanggil duta Amerika Syarikat (AS) bagi mendesak negara itu membatalkan penggubalan undang-undang yang menyokong gerakan prodemokrasi di Hong Kong atau bersedia menanggung akibat.

Rang undang-undang Hong Kong yang menanti tandatangan Presiden Donald Trump itu menyokong hak asasi manusia dan demokrasi di hab kewangan Asia terbabit selain mengancam membatalkan status ekonomi khasnya.

Turut diluluskan langkah berasingan menghalang penjualan gas pemedih mata, peluru getah dan pelbagai peralatan lain digunakan pasukan keselamatan bagi menangani protes prodemokrasi.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Luar Negeri China, Zheng Zeguang memanggil Duta AS, Terry Branstad bagi menyuarakan bantahan berhubung rang undang-undang berkenaan semalam.

Kementerian mendesak AS segera memperbaiki kesilapannya, menghalang rang undang-undang berkaitan Hong Kong daripada menjadi undang-undang dan menghentikan percakapan dan tindakan yang mencampuri urusan Hong Kong serta hal ehwal dalaman China.

"Sekiranya enggan, AS harus menanggung segala akibatnya," kata kenyataan kementerian berkenaan.

Kementerian terbabit menambah, penggubalan undang-undang tersebut tanpa segan mencampuri urusan dalaman China dan menyokong tingkah laku jenayah ganas pihak anti-China yang mencabar Hong Kong.

Dalam pada itu, Trump yang belum menyatakan sama ada beliau akan menandatangani rang undang-undang tersebut berkata, beliau menyokong Hong Kong namun pada masa sama berdiri bersama rakannya, Presiden China, Xi Jinping. - AFP

Artikel Berkaitan: