Kerajaan perlu tubuh unit khas bantu masalah orang asli

Bantuan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menghantar 5,100 bantuan makanan kepada enam pos pedalaman menggunakan helikopter. Gambar kecil: Nasir
Bantuan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menghantar 5,100 bantuan makanan kepada enam pos pedalaman menggunakan helikopter. Gambar kecil: Nasir
A
A
A

GUA MUSANG - Komuniti orang asli di daerah ini menyambut baik cadangan dan bantuan kerajaan bagi mengatasi masalah yang menimpa masyarakat orang asli yang terkesan khasnya yang tinggal di pedalaman.

Aktivis orang asli, Nasir Dollah berkata, beliau juga berharap agar keperluan ini difokuskan kepada setiap pos pedalaman.

Menurutnya, saban tahun, setiap kali musim tengkujuh ia suatu situasi yang sangat sukar bagi masyarakat di pedalaman untuk ke Gua Musang bagi mendapatkan bekalan makanan disebabkan jalan yang rosak teruk bahkan ada yang terputus perhubungan.

"Saya berharap, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) daerah dan negeri perlu sentiasa mendapatkan maklumat dari pemimpin setempat bagi memudahkan bantuan kepada mereka yang memerlukan di musim tengkujuh ini.

"Kerajaan perlu menyediakan satu unit khas bagi membantu masyarakat orang asli yang terjejas teruk akibat musim tengkujuh atau bencana yang menimpa mereka.

"Unit khas ini perlu dilengkapi dengan peruntukan dana dan bantuan yang berkaitan di samping komuniti setempat perlu di terapkan bagi menyalurkan maklumat dengan lebih berkesan dan sampai kepada sasaran," katanya.

Katanya, sudah tiba masanya permasalahan yang membelenggu masyarakat orang asli perlu diatasi secara berperingkat demi kesejahteraan dan keselesaan.

"Antara yang perlu diberi perhatian ialah isu hidupan liar seperti gajah yang merosakkan tanaman dan jalan perhubungan yang rosak teruk.

Artikel Berkaitan:

"Saya mewakili masyarakat Temiar dari Gua Musang mengucapkan tahniah dan syabas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang sentiasa mendengar dan seterusnya melaksanakan apa yang dicadangkan oleh komuniti di sini," katanya lagi.

Terdahulu, unit udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menghantar 5,100 bantuan makanan kepada enam pos pedalaman menggunakan helikopter.

Bantuan itu disalurkan selepas beberapa pos pedalaman dilaporkan terputus bekalan makanan akibat kerosakan jalan perhubungan dan ancaman gajah liar.