X

Kindly register in order to view this article
!

Parti pro-Beijing kalah, Carrie Lam hormat keputusan

Penyokong prodemokrasi bersorak gembira ketika meraikan kekalahan calon pro-Beijing, Junius Ho yang hilang kerusi di daerah Tuen Mun. - FOTO AFP
A
A

HONG KONG - Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam hari ini menyatakan kerajaan menghormati keputusan pemilihan itu dan berharap situasi tenang, teratur dan selamat itu akan berterusan.

Carrie Lam turut membuang undi dalam Pilihan Raya Majlis Daerah Hong Kong semalam. - FOTO AFP
Carrie Lam turut membuang undi dalam Pilihan Raya Majlis Daerah Hong Kong semalam. - FOTO AFP

Beliau juga berikrar untuk 'mendengar dengan rendah hati' tuntutan dan pendapat penduduk bandar raya tersebut selepas parti pro-Beijing mengalami kekalahan teruk dan hilang kawalan ke atas 18 majlis daerah.

"Kami sedia dengar suara hati dan pendapat rakyat dan mengambil perkara itu secara serius," ujarnya tanpa memberikan tindak balas spesifik yang akan dibuat.

Sebelum ini, pemimpin terbabit telah berulang kali menolak gesaan untuk melakukan pembaharuan politik dan mendakwa majoriti penduduk menyokong pentadbirannya dan menolak gerakan protes antikerajaan tersebut.

Dalam perkembangan lain, penentang Lam dilaporkan terus mendesak beliau untuk bersetuju dengan senarai lima permintaan termasuk pemilihan langsung badan perundangan dan kepimpinan serta siasatan ke atas tindakan kekerasan polis terhadap penunjuk perasaan.

"Penduduk Hong Kong telah bersuara. Kini, sudah tiba masanya kerajaan bertindak. Jangan hampakan Hong Kong lagi," kata anggota majlis prodemokrasi yang dilantik semula, Paul Zimmerman.

Sejurus kemenangan luar biasa itu, puluhan anggota dewan baharu yang dipilih berarak di luar kampus Universiti Politeknik Hong Kong (PolyU) untuk menggesa polis melepaskan sejumlah penunjuk perasaan yang masih dikepung pihak berkuasa.

Sementara itu, China terus menyatakan sokongan terhadap Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam selepas kekalahan teruk parti kerajaan dalam Pilihan Raya Majlis Daerah kelmarin.

"Kerajaan pusat akan tetap memberi sokongan kepada kepimpinan Lam di Wilayah Pentadbiran Khas," kata jurucakap Kementerian Luar, Geng Shuang.

Menurutnya, Beijing juga bersetuju dengan tindakan diambil polis dan badan kehakiman di Hong Kong untuk menghukum tingkah laku ganas dan perbuatan melanggar undang-undang.

"Dasar Satu Negara, Dua Sistem tidak akan berubah. Kerajaan China akan terus melindungi kedaulatan negara, keselamatan dan kepentingan pembangunan," jelasnya lagi.

Terdahulu, Menteri Luar China, Wang Yi menegaskan Hong Kong adalah sebahagian daripada China.

"Tidak kira apa berlaku!' tegasnya.

Keputusan di bandar semiautonomi itu telah memberi mesej jelas kepada kerajaan yang disokong Beijing tentang tuntutan gerakan protes yang telah melanda bandar raya itu selama lebih enam bulan.

Kemenangan mengejutkan prodemokrasi

Anggota Demokrat memperoleh kemenangan mengejutkan dengan meraih majoriti besar pada Pilihan Raya Majlis Daerah yang diadakan semalam, sekali gus memberi tamparan hebat dan meningkatkan lagi tekanan kepada pemimpin pro-Beijing di bandar raya tersebut.

Stesen penyiar RTHK melaporkan calon prodemokrasi meraih kira-kira 86 peratus daripada 452 kerusi majlis daerah yang dipertandingkan susulan kehadiran luar biasa pengundi di tengah-tengah protes antikerajaan yang berlarutan selama enam bulan dan masih belum reda.

Sebanyak 388 kerusi berjaya dirampas pada kali ini yang menyaksikan 17 daripada 18 majlis daerah kini berada di bawah kawalan Demokrat manakala parti kerajaan pro-Beijing memperoleh 59 kerusi dan lima kerusi lagi diraih parti bebas.

Sebelum ini, kesemua majlis daerah itu dikawal parti pro-Beijing sejak pemilihan 2015.

Hampir tiga juta atau lebih 71 peratus penduduk keluar menunaikan tanggungjawab mereka dan angka itu meningkat hampir dua kali ganda berbanding empat tahun lalu.

Difahamkan, seramai 1,104 calon bertanding pada pilihan raya kali ini.

“Ramai pengundi berharap untuk menggunakan pemilihan ini dan undi mereka sebagai tanda sokongan kepada protes prodemokrasi dan lima tuntutan kumpulan itu. Ia juga jelas menunjukkan ketidakpuasan terhadap kerajaan Hong Kong.

“Oleh sebab itu, ramai yang sanggup beratur lama sehingga dua jam. Tidak kira lelaki atau wanita, tua atau muda, mereka mahu keluar mengundi,” kata bekas pelajar yang terpilih dalam pemilihan itu, Lester Shum.

Sementara itu, rakan seangkatannya, Tommy Cheung yang menang kerusi di daerah Yuen Long berhampiran sempadan China menyifatkan kemenangan sebagai kuasa demokrasi.

“Ini adalah tsunami demokrasi,” tegasnya.

Dalam satu kenyataan lain, pensyarah sains politik di sebuah universiti di hab kewangan Asia itu, Ma Ngok berkata, keputusan itu menolak dakwaan kerajaan sebelum ini yang yakin kononnya sokongan awam berpihak kepada mereka.

“Ini tamparan besar buat mereka kerana penduduk Hong Kong telah menunjukkan pendirian sebenar mereka,” ujarnya.

Pensyarah kanan di Chinese University of Hong Kong, Ivan Choy juga sependapat dengan Ngok yang mana beliau melihat kebanyakan pengundi menganggap pemilihan itu sebagai referendum.

“Prodemokrasi cuba meraih sokongan dengan krisis demonstrasi berlarutan dan tadbir urus kerajaan yang lemah manakala calon pro-Beijing hanya menggunakan pendekatan katakan tidak kepada keganasan,” menurutnya. - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!