Tiga pelajar ditahan ubah suai motosikal

Tiga motosikal yang ditunggang tiga pelajar berkenaan disita untuk siasatan lanjut.
Tiga motosikal yang ditunggang tiga pelajar berkenaan disita untuk siasatan lanjut.
A
A
A

DUNGUN - Tiga pelajar sekolah menengah antara yang ditahan dalam Ops Lejang/Samseng Jalanan yang dijalankan di Kilometer 61, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, ketika ditahan, ketiga-tiga pelajar berkenaan dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menuju ke Bandar Ketengah Jaya.

Menurutnya, pemeriksaan awal anggota polis mendapati ketiga-tiga motosikal jenis Honda EX 5 itu diragui statusnya berikutan pemilik motosikal telah membuat pengubahsuaian pada enjin dan kerangka.

“Pihak kami mendapati tiada nombor pendaftaran ditemui pada dua motosikal terbabit dan kita syaki ia telah diubahsuai oleh pemilik manakala sebuah lagi tidak mempunyai nombor pendaftaran pada casis.

“Ketiga-tiga pelajar juga tidak mempunyai lesen memandu dan motosikal yang dinaiki tidak mempunyai cukai jalan. Kita terpaksa menahan mereka untuk siasatan lanjut.

“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah dan tiga motosikal terbabit disita untuk dihantar menjalani ujian kimia bagi mengetahui status pemilik motosikal tersebut,” katanya.

Baharudin berkata, dalam operasi yang sama, seorang lelaki Rohingnya turut ditahan kerana didapati menggunakan kad pelarian UNHCR palsu.

“Pemeriksaan lanjut terhadap lelaki yang berusia lingkungan 30-an itu mendapati dia menggunakan kad pelarian yang diragui statusnya.

Artikel Berkaitan:

“Ia tidak serupa dengan ciri-ciri kad pelarian yang sebenar dan kita telah serahkan kepada pihak imigresen untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, seramai 11 anggota termasuk seorang pegawai terlibat dalam operasi itu yang bermula jam 4 petang hingga 8 malam bagi mengekang aktiviti samseng jalanan yang menggunakan laluan tersebut untuk melakukan aktiviti lumba haram pada hujung minggu.

“Sebanyak 336 kenderaan, 205 motosikal diperiksa dan sebanyak 34 saman dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan trafik sepanjang operasi tersebut,” katanya.