Sindiket curi kabel tumpas

Senjata yang dirampas bersama tiga suspek minggu lalu.
A
A

KUALA KRAI - Sindiket aktif mencuri kabel Telekom Malaysia di beberapa daerah lumpuh dengan tertangkapnya tiga lelaki dalam dua serbuan berasingan di Kuala Krai dan Pasir Puteh, minggu lalu.

Ketiga-tiga suspek masing-masing berumur 46, 33, dan 27 tahun juga positif dadah jenis methamphetamine, turut dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah berdasarkan penemuan beberapa senjata berbahaya serta peralatan pecah rumah.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning berkata, sebelum itu polis menerima aduan orang awam memaklumkan kejadian curi kabel di pencawang Maxis di Lata Rek.

"Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan anggota ke lokasi kejadian. Semasa tiba di lokasi jam 6.15 pagi terdapat dua kenderaan, sebuah kenderaan bersama pemandu berjaya ditahan setelah berlaku pergelutan.

"Dengan tertangkapnya lelaki yang juga penganggur ini kita berjaya menemui 25 batang kabel telah dipotong dan 51 barang kes termasuk senjata berbahaya yang digunakan untuk mencuri," katanya kepada Sinar Harian.

Abdullah berkata, siasatan mendapati suspek beralamat di Pulau Perhentian,Terengganu turut mempunyai rekod lampau jenayah berkaitan dadah.

"Susulan penangkapan suspek pertama, pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai dengan kerjasama IPD Pasir Puteh telah mengadakan serbuan kedua di Kampung Lepah, Selising Pasir Puteh.

"Dalam serbuan ini kita menahan lelaki berusia 33 tahun yang mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah bersama rakan berusia 27 tahun," katanya.

Beliau berkata, polis turut menemui dua botol cecair dipercayai air ketum, tiga bilah parang, satu pedang, tujuh gulung wayar pelbagai saiz, peralatan curi kabel dan pecah rumah serta dua motosikal elektrik.

"Dengan tertangkapnya suspek juga membawa kepada penemuan 110 biji pil kemerahan dipercayai dadah di sebuah rumah berasingan di Pasir Puteh.

"Dengan tertangkapnya tiga lelaki ini kita yakin dapat selesaikan beberapa kes curi kabel di beberapa daerah," katanya.

Abdullah berkata, pihaknya memohon kerjasama orang ramai untuk mengesan seorang lelaki, Mohd Shahmin Samsu Bahru, beralamat di Kampung Gaung Lati untuk membantu siasatan kes sama.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia