PRK Dun Rantau: Nama Streram diberi keutamaan

Streram, Aminuddin
Streram, Aminuddin
A
A
A
SEREMBAN - PKR Negeri Sembilan akan memberi keutamaan kepada Dr S Streram sebagai calon utama PRK bagi Dun Rantau.

Pengerusinya, Aminuddin Harun berkata, Dr Streram yang juga bekas calon bagi kerusi berkenaan pada PRU14 lalu, sudah lama berjuang untuk mendapatkan haknya yang dinafikan sebelum ini.

Katanya, ada beberapa nama yang disenaraikan tetapi pihaknya akan memberi keutamaan kepada Streram sebagai calon utama.

“Kita akan hantar dua atau tiga nama calon, tetapi nama Dr Streram adalah keutamaan bagi PKR negeri, beliau telah melakukan persediaan sejak PRU14 lalu, sejak dari awal beliau telah bekerja dan kemudian bersusah-payah membuat rayuan di mahkamah apabila tidak dibenarkan bertanding.

“Semua itu adalah usaha dan komitmennya sendiri, tidak patut jika saya tidak letakkan namanya sebagai calon sedangkan beliau sudah berjasa dan membuat kerja di sana sejak PRU14 lalu.

“Orang yang telah berjasa dan telah buat kerja memang patut disenaraikan namanya, sebagai pemimpin itulah yang patut saya beritahu keutamaannya (meletakkan nama Streram sebagai calon PRK Rantau),” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai spekulasi untuk meletakkan calon wanita, Aminuddin berkata, di negeri ini ramai calon wanita yang berkelayakkan tetapi itu semua perlu melalui pemilihan dan perbincangan bersama.

Katanya, sesiapa juga boleh meletakkan calon termasuk calon wanita tetapi keputusan akhir akan ditentukan oleh pucuk pimpinan.

Terdahulu, Mahkamah Khas Pilihan Raya di sini memutuskan kemenangan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan di Dun Rantau pada PRU14 lalu, terbatal dan tidak sah.
Artikel Berkaitan:


Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Azimah Omar, yang turut memutuskan PRK bagi DUN Rantau perlu diadakan serta-merta.

Dr Streram turut dilaporkan berkata, tidak adil jika beliau tidak dinamakan untuk bertanding sedangkan telah berusaha memfailkan petisyen bagi membatalkan kemenangan Mohamad.

Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, Dr Streram mempunyai peluang menang kerana sudah lama membuat persediaan termasuk mendekati masyarakat setempat, malah masih meneruskannya dengan jawatan sebagai Penyelaras Dun Rantau.

Bagaimanapun katanya, keputusan muktamad terletak kepada pucuk kepemimpinan parti peringkat pusat untuk menentukannya.