Pengusaha perabot tempatan perlu contohi IKEA, kata Teresa

Teresa Kok
Teresa Kok
A
A
A

SERDANG - Pengusaha perabot tempatan perlu mencontohi tarikan rekaan perabot jenama Sweden, Ikea bagi menarik minat golongan muda membeli perabot buatan Malaysia, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Beliau berkata, rekaan perabot yang ringkas dan mudah menjadi pilihan anak muda dan pengusaha perabot tempatan perlu mengutamakan ciri-ciri tersebut dalam rekaan masing-masing.

"Ikea menjadi perabot pilihan golongan muda termasuklah untuk perabot di tempat kerja. Kita perlu membuat kajian bagaimana orang ramai tertarik kepada perabot Ikea," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Usahawan Perabot Bumiputera Kebangsaan di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Bagi pasaran eksport pula, Teresa berkata, pengusaha perabot tempatan wajar memasukkan ciri-ciri etnik Malaysia dalam rekaan contohnya corak Borneo bagi mempromosikan budaya tempatan ke pentas antarabangsa.

"Selain itu kajian perlu dilakukan bagi memahami perbezaan cita rasa pembeli perabot dari negara Afrika dan negara Barat supaya pemasaran boleh dilakukan dengan lebih fokus bagi kumpulan pembeli yang berbeza," katanya.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata, kekurangan sumber tenaga kerja dalam sektor pembuatan perabot merupakan antara punca ketidakupayaan industri perabot tempatan memenuhi permintaan.

Katanya, usahawan perabot Malaysia perlu peka dengan penggunaan teknologi di mana usaha tersebut dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing. - Bernama

Artikel Berkaitan: