Saad dipilih ketuai NFDP, AMD

Saad bakal bertanggunjawab ke atas NFDP dan AMD.
Saad bakal bertanggunjawab ke atas NFDP dan AMD.
A
A
A

JAWATANKUASA Pemandu Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) telah bersetuju untuk melantik Saad Ichelene sebagai Pengarah Teknikal NFDP berkuat kuasa 1 Disember ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Saad akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas program NFDP dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang sebelum ini diketuai oleh Lim Teong Kim.

"Saad dipilih memandangkan beliau merupakan tulang belakang yang merancang program latihan NFDP di pelbagai peringkat sebelum ini dan telah biasa dengan struktur program tersebut.

"Hubungan baik beliau bersama semua pemegang taruh termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga akan menjadi aset berharga buat NFDP.

"Saad akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas program NFDP termasuk AMD apabila dilantik nanti dan sebarang perancangan akan dapat diselaraskan dari peringkat Akademi Tunas sehingga ke peringkat AMD," katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Saad sebelum ini menjawat jawatan sebagai Ketua Pencarian Bakat dan Metadologi NFDP pada 2016 sehingga 2018 sebelum dilantik sebagai Pengarah Teknikal NFDP (pembangunan Negeri) pada tahun ini.

Beliau memulakan kerjaya sebagai Ketua Jurulatih Akademi Bola Sepak Remaja Paris Saint Germain (PSG) pada 2012 hingga 2016 selepas menamatkan karier sebagai pemain profesional bersama beberapa kelab Eropah termasuk PSG, Nimes Olympique dan USM Alger.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq menjelaskan, struktur NFDP juga diperkemaskan dengan melantik beberapa jawatan utama untuk membantu Saad bagi memastikan kelancaran program tersebut pada tahun depan.

Artikel Berkaitan:

"Jawatankuasa pemandu juga telah bersetuju untuk melantik Dennis Bekking selaku Pengarah AMD yang baharu.Beliau merupakan bekas pengarah kelab Akademi Twente FC di Belanda.

"Untuk jawatan Pencarian Bakat dan Methodologi Kejurulatihan pula jawatankuasa telah melantik Abdifitaah Mohamed Hassan manakala Aminuddin Hussain dilantik sebagai Ketua Pembangunan Remaja," katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq tidak mahu mengulas lanjut mengenai kos gaji membabitkan semua pelantikan tersebut.

Sebelum ini, difahamkan kontrak jawatan Teong Kim selaku Pengarah Teknikal NFDP dan Pengarah AMD yang tamat pada 31 Oktober lalu tidak disambung atas faktor gajinya yang terlampau tinggi.

Sementara itu, Syed Saddiq memaklumkan satu town hall mega akan diadakan pada Januari nanti untuk menjelaskan mengenai perancangan baharu NFDP untuk masa akan datang.