10 Badang terkenal dunia

A
A
A

BANYAK pertandingan menguji kekuatan 'lelaki sado' di peringkat antarabangsa dianjurkan saban tahun antaranya The World's Strongestman, The Strongestman Guinness World Record, Arnold Strongman Classic dan Strongman Super Series.

Bukan calang-calang cabaran diberikan. Mereka diuji dengan pelbagai rutin mustahil seperti mengangkat beban seberat 100 kilogram (kg) sehingga lebih 400kg sambil berlari menaiki tangga dan menarik rantai sauh seberat 430kg.

Tetapi, apa yang paling tidak boleh terima dek akal, cabaran menarik satu kapal terbang dipenuhi penumpang sejauh 100 meter! Mungkin kedengaran satu kerja 'gila' namun ada jejaka terbukti berjaya melakukannya.

Sebagai contoh, acara terbesar The World's Strongestman anjuran International Management Group (IMG) yang berpangkalan di kota New York itu menyaksikan 42 pemegang gelaran Orang Terkuat Dunia sejak 1977.

Justeru itu, e-Trend membawakan kisah menarik 10 si gagah dunia dalam sisipan minggu ini sempena sambutan Hari Lelaki Sedunia.

MARTIN LICIS
MARTIN LICIS

Martin Licis

Anak jati Republik Latvia itu dinobatkan sebagai Lelaki Paling Kuat Dunia 2019 selepas berjaya menewaskan penyandang yang juga bintang drama The Game of Thrones, Hafthor Bjornsson dalam saingan The World's Strongest Man tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Mesra dengan panggilan The Dragon, Martin yang pernah bergelar juara Ultimate Strongman Summermania 2017 itu cemerlang dalam beberapa rutin termasuk Atlas Stone dan sembilan ulangan Squat Lift tanpa gagal sehingga disebut sebagai pelapis atlet Strongman masa depan.

Juara MAS Wrestling Open World Championships berusia 29 tahun itu dilihat tidak berputus asa selepas menduduki tempat ke-6 bagi percubaan pertama The World's Strongest Man 2016 dan berjaya merebut gelaran kali ini.

MATEUSZ KIELISZOWSKI
MATEUSZ KIELISZOWSKI

Mateusz Kieliszowski

Pesaing kelahiran Poland itu tidak kurang hebatnya. Meskipun menduduki tempat kedua dalam The World's Strongest Man tahun ini, namun jejaka berusia 26 tahun itu cukup terkenal dek kerana kekuatannya mengangkat bebanan dumbell gergasi seberat lebih 100kg dengan hanya satu tangan.

Penyandang gelaran Poland's Strongest Man untuk lima tahun berturut-turut sejak 2015 itu turut memegang pelbagai rekod dunia dalam Giant Live 2019, Arnold Pro Strongman Europe 2019 dan Beasts of the Middle East World's Ultimate Strongman 2019.

Handal bukan? Hanya bermula dengan minat mendalam terhadap sukan kekuatan sejak di bangku sekolah lagi, Kieliszowski mencuba nasib seawal usia 17 tahun menyertai beberapa siri pertandingan amatur.

Selepas berjaya memenangi Arnold Amateur Competition 2014, langkah kariernya lebih luas sehingga dapat melayakkan diri di tempat ke-3 dalam kejuaraan professional, Arnold Strongman Classic 2015.

HAFTHOR JULIUS BJORNSSON
HAFTHOR JULIUS BJORNSSON

Hafthor Julius Bjornsson

Namanya tidak perlu diperkenalkan lagi. Aktor yang terkenal dengan gelaran The Mountain dalam siri drama aksi fantasi, Game of Thrones itu pernah menyandang gelaran juara dunia The World's Strongest Man 2018.

Bukan sahaja memegang gelaran Iceland's Strongest Man sembilan kali berturut-turut, kegagahan bapa anak satu berkenaan mula terserlah selepas memenangi Arnold Strongman Classic dan menewaskan penyandang terhebat, Brian Shaw.

Lebih dikenali dengan panggilan Thor, bekas atlet bola keranjang berusia 31 tahun tersebut mempamerkan aksi cemerlang mengangkat bebanan seberat 1,100kg bagi tiga rutin mustahil iaitu Squat Lift, Bench Press dan Deadlift. Cukup menakjubkan!

JEAN FRANCOIS CARON
JEAN FRANCOIS CARON

Jean Francois-Caron

Juara Canada's Strongest Man buat tujuh kali berturut-turut itu bukan biasa-biasa orangnya. Meskipun lelaki berusia 37 tahun itu belum pernah menjuarai The World's Strongest Man, namun pemilik gim berkenaan memiliki rekod cemerlang dalam aksi angkat berat.

Selain masih mempertahankan rekod dunia WPA Powerlifting Organization, peminat fanatik pasukan Toronto Blue Jays itu juga menyandang rekod dunia The Strongestman Guinness World Record 2015 dalam acara menterbalikkan kenderaan jenis Volkswagen sebanyak 13 kali di China.

Kekuatan tiada taranya tersebut turut terserlah apabila berjaya menterbalikkan tayar seberat 612kg sebanyak empat kali sekali gus mencipta rekod baharu dalam acara Tire Flip World Record Arnold Strongman Classic 2016.

BRIAN SHAW
BRIAN SHAW

Brian Shaw

Namanya cukup digeruni dalam Strongman Super Series apabila mencatat rekod terbaik cabaran Gothenburg Grand Prix 2009, Los Angeles Grand Prix 2009 Viking Power Challenge 2010, Swedish Grand Prix 2010 dan Overall Champion 2010.

Meskipun hanya menjuarai The World's Strongest Man sebanyak empat kali, anak jati Colorado itu mencipta rekod peribadi tersendiri apabila muncul juara berganda pada kejohanan besar tahun 2011 dan 2015.

Masih aktif dalam siri kejuaraan dunia demi masih mengejar gelaran The World's Strongest Man buat kali ke-12 penyertaannya, pemilik YouTube Channel, Shawstrength itu juga rajin berkongsi tip kesihatan, cabaran kekuatan dan footage latihan peribadi bersama rakannya, Eddie Hall.

EDDIE HALL
EDDIE HALL

Eddie Hall

Sejarah kemunculan bekas pemain ragbi yang pernah dibuang sekolah ini cukup menarik. Hanya bermula pada tahun 2008 dengan kerjaya sebagai mekanik, lelaki cekal itu berlatih untuk menjadi ahli bina badan dan pernah menyertai beberapa siri pertandingan di sebuah gim di Staffordshire.

Bagai orang mengantuk disorong bantal, peluang untuk menyertai England Championships terbuka luas apabila namanya dipetik sebagai pengganti finalis, Dave Meer yang tidak dapat meneruskan cabaran akibat kecederaan.

Peluang yang diberikan dipergunakan sebaik mungkin dan siapa sangka, Hall berjaya memenangi kejuaraan itu dengan hanya satu percubaan sahaja. Bukan sahaja mengungguli carta UK's Strongest Man 2011, beliau turut memecah rekod baharu dalam acara Viking Hold.

Meskipun sudah bersara selepas menjuarai World's Strongest Man 2017, namun bapa dua anak itu aktif dalam bidang perfileman apabila membuat kemunculan cameo dalam filem Transformers: The Last Knight dan dinobatkan bintang Youtubers.

VASYL VIRASTYUK
VASYL VIRASTYUK

Vasyl Virastyuk

Orang paling kuat Ukraine itu dilahirkan pada tahun 1974. Mula dikenali selepas debut Ukraine's Strongest Man buat enam kali berturut-turut bermula tahun 2000.

Mula jatuh cinta dengan latihan bergusti ketika masih di bangku sekolah, bapa dua anak itu mempamerkan bakat memberangsangkan dalam sukan angkat berat dan pernah mencatat rekod dunia kerana berjaya menarik trem seberat lebih 10 tan.

Selepas menamatkan cabaran IFSA World Championship di tempat kedua pada tahun 2005 dan ketiga pada tahun 2006, Virastyuk berjaya mencipta momen tersendiri menewaskan juara IFSA World Champion, Žydrūnas Savickas pada tahun berikutnya.

Atas kejayaan itu, lelaki yang berusia 45 tahun terbabit menjadi atlet pertama dalam sejarah, menyandang gelaran juara berganda World's Strongest Man dan IFSA World Championship seterusnya menerima pengiktirafan 10 lelaki paling kuat sepanjang masa.

ZSOLT SINKA
ZSOLT SINKA

Zsolt Sinka

Pernah digelar sebagai Popeye Hungary kerana memiliki kekuatan badang selepas berjaya menarik sebuah kapal terbang jenis Airbus A320 sejauh 39.2 meter dalam tempoh 52 saat sahaja menggunakan gigi.

Ya! Hanya menggunakan gigi untuk menarik kenderaan sebesar itu pastinya memerlukan kekuatan luar biasa. Impiannya mahu mencipta rekod baharu dalam The Strongestman Guinness World Record sempena World Expo Dubai 2020 akan datang.

Bukan sembarangan impian yang ingin dicapai apabila bapa anak satu tersebut menyuarakan hasrat untuk menarik Boeing 777 dan Airbus A380 sebagai satu promosi unik selain mahu menarik enam sehingga lapan kereta untuk persembahan rekod baharu pada masa akan datang.

ZYDRUNAS SAVICKAS
ZYDRUNAS SAVICKAS

Zydrunas Savickas

Seorang atlet profesional Strongman yang pernah menggegarkan dunia dengan aksi cemerlang di peringkat Republik Lithuania bermula 1995 lagi sehingga mencapai empat kali kejuaraan World's Strongest Man.

Asalnya, anak jati Lithuania itu tertarik dengan aksi atlet angkat berat dalam satu siaran langsung pertandingan tersebut pada tahun 1989. Beliau mengambil keputusan untuk mengambil bahagian dan tidak sangka berjaya bergelar juara di kejohanan sama.

Kejayaan itu memberikan inspirasi kepadanya untuk memulakan latihan dan menyertai pelbagai pertandingan sehingga dinobatkan Orang Paling Kuat Lithuania dengan 15 kali kejuaraan.

Lebih dikenali gelaran Big Z, jejaka yang berusia 44 tahun itu aktif mempromosikan program dan seminar Strongman seluruh dunia dengan penampilan baharu selepas berjaya menguruskan badan daripada 170kg kepada 155kg.

DMYTRO KHALADZHI
DMYTRO KHALADZHI

Dmytro Khaladzhi

Berbeza pula dengan kisah lelaki Ukraine berusia 40 tahun itu yang mencetuskan fenomena dunia apabila cuba membuktikan kekuatan diri dengan aktiviti tidak masuk akal termasuk mendukung kuda dewasa, membiarkan truk melanggar badannya dan membengkokkan cerucuk keluli menggunakan gigi.

Ada beberapa video tentang aksinya tular dalam media sosial mendapat perhatian netizen. Aksi selamba memaku menggunakan tangan turut menjadi trending dan memegang 63 rekod dunia Guinness World Record.

Juara Ukrainian Drug-free Powerlifting Federation 2009 itu memulakan zaman kanak-kanak agak tragis apabila 35 peratus badannya melecur teruk akibat terkena air panas ketika usia empat tahun dan terpaksa menjalani tujuh pembedahan serta 12 transfusi darah.

Pemegang watak utama dalam filem aksi, Strong Ivan itu pernah menerima anugerah The Golden Pen of Rus 2010 atas beberapa artikel berkaitan atlet terkenal selain pernah mencatat rekod terbaik - mengangkat paip seberat 1,022 kg selama 12.5 saat.