Malaysia belum terima surat tuntutan maaf dari Indonesia

Syed Saddiq bercakap kepada media di Parlimen hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Syed Saddiq bercakap kepada media di Parlimen hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang surat daripada kerajaan Indonesia yang menuntut Malaysia memohon maaf susulan insiden pergaduhan di Stadium Nasional Bukit Jalil ketika perlawanan Malaysia menentang Indonesia pada 19 November lalu.

Syed Saddiq berkata, pihaknya tiada masalah untuk membuat permohonan maaf secara rasmi sekiranya diminta berbuat demikian.

“Enggan memanjangkan isu ini, saya rasa lebih baik saya minta maaf cuma saya faham mereka mahu permohonan maaf rasmi. Tetapi sampai sekarang pejabat saya belum terima notis rasmi, nampak ia diviralkan di media sosial.

“Bila terima saya akan balas secara rasmi permohonan maaf dan untuk pastikan kita dapat selesaikan kes ini bersama,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Kementerian Pemuda dan Olahraga Indonesia (Kemenpora) memuat naik gambar dua muka surat dokumen di Twitter rasmi kementerian itu yang mengecam insiden pergaduhan di Stadium Nasional Bukit Jalil ketika perlawanan Malaysia menentang Indonesia baru-baru ini.

Perkongsian gambar tersebut kini tular di media sosial dan rata-rata netizen khususnya penyokong Indonesia mahu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di bawah pentadbiran Syed Saddiq memohon maaf kepada negara itu.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Indonesia tuntut Malaysia mohon maaf

Dalam pada itu, Syed Saddiq mengulangi komitmennya bahawa pesalah dalam kes tersebut akan diheret ke muka pengadilan tidak kira mereka dari Indonesia atau Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Komitmen saya, kalau ada salah laku, kami akan pastikan pesalah diheret ke muka pengadilan.

“Tak kira pesalah dari Malaysia atau Indonesia kerana perkara seperti ini tidak diterima pencinta bola sepak tanah air,” katanya.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Muar itu tidak menyatakan secara jelas sama ada kerajaan Malaysia akan meminta ganti rugi berikutan beberapa kerusi Stadium Nasional Bukit Jalil dirosakkan penyokong Indonesia dalam perlawanan baru-baru ini.

“Saya dimaklumkan ada proses dilalui FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) sendiri. Kita akan lihat semua pilihan yang ada.

“Sebab itu saya kata mana-mana salah laku tak kira dari Indonesia atau Malaysia, kita akan siasat,” katanya.