X

Kindly register in order to view this article
!

Intergriti generasi muda cabaran 2030

Akhbar Satar
A
A

KUALA LUMPUR - Ungkapan 'duit kopi' seolah-olah satu perkara biasa dan agak sebati dengan kehidupan seharian sebilangan masyarakat tanpa mengira umur dan latar belakang.

Kebiasaan itu jika diamalkan bukan sahaja boleh memudaratkan malah boleh membawa keruntuhan kepada negara kerana ia melibatkan integriti sistem pentadbiran sesebuah negara dan keadaan lebih buruk apabila gejala ‘duit kopi’ atau lebih tepat lagi rasuah itu menular dalam kalangan generasi muda atau milenial.

Oleh itu, telah tiba masanya untuk meletakkan titik noktah pada gejala rasuah yang sememangnya menjadi cabaran besar buat kerajaan Pakatan Harapan (PH) tatkala Malaysia dalam landasan menuju negara maju menjelang 2030.

Dalam membanteras ‘musuh nombor satu negara’ itu, tumpuan harus diberi pada generasi muda atau golongan milenial memandangkan lebih separuh daripada jumlah individu yang ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak lebih lima tahun lepas terdiri daripada golongan berumur 40 tahun dan ke bawah.

Berdasarkan statistik SPRM dari tahun 2014 sehingga Jun lepas, seramai 4,860 orang telah ditangkap kerana rasuah dan 2,594 atau 53.4 peratus daripada jumlah itu merupakan golongan muda.

“(Ini menunjukkan) bukan generasi tua sahaja yang gagal (terlibat rasuah) dan kurang integriti tetapi golongan muda yang bakal mengambil alih tampuk pemerintahan negara juga kini sudah melakukan rasuah.

"Apa bakal terjadi kepada negara pada masa hadapan nanti,” kata aktivis antirasuah Datuk Seri Akhbar Satar kepada Bernama baru-baru ini.

Perkembangan itu juga menurutnya menimbulkan persoalan sama ada strategi dan pendekatan yang diambil bagi menangani isu rasuah sebelum ini adalah betul-betul berkesan.

Sehubungan itu, Akhbar mencadangkan supaya satu kajian dijalankan bagi memahami ‘root cause’ kepada masalah integriti itu dan melihat sama ada ia berpunca daripada faktor tertentu seperti cara individu dibesarkan, pendidikan atau ekonomi.

"Hasil penemuan daripada kajian itu boleh digunakan untuk merangka satu modul antirasuah yang baharu.

“Melalui kajian itu, kita boleh buat modul membanteras rasuah dengan acuan kita sendiri. Ini penting kerana kita tak boleh ikut (atau ambil) modul sedia ada dari negara luar kerana mereka mempunyai nilai kehidupan, budaya, malah etnik yang tersendiri,” ujarnya.

Sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan pada Mei 2018, kerajaan PH telah mengambil langkah memerangi rasuah secara total kerana menyedari natijahnya yang boleh merencatkan pengembangan dan pengagihan ekonomi negara seperti ditekankan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

Usaha itu dibuktikan dengan pengenalan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 pada Januari tahun ini yang memfokuskan enam sektor utama merangkumi politik, perolehan awam, penguatkuasaan undang-undang, pentadbiran sektor awam, perundangan dan kehakiman serta tadbir urus korporat.

Ketegasan kerajaan PH juga memperlihatkan kesan positif apabila Malaysia naik satu anak tangga ke kedudukan 61 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2018, berbanding tempat ke-62 pada tahun lepas.

Namun, Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, semua usaha itu bakal menjadi sia-sia sekiranya tumpuan tidak diberikan kepada generasi akan datang kerana pembelajaran dan kesedaran ‘katakan tidak pada rasuah’ itu harus bermula awal iaitu di peringkat sekolah lagi.

Sambil menyifatkan inisiatif Kementerian Pendidikan untuk memasukkan pendidikan antirasuah dalam mata pelajaran adalah satu perkara yang baik, beliau juga mencadangkan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan masyarakat sivil antirasuah lain untuk terlibat sama dalam mendidik generasi muda.

Kerjasama itu, katanya, boleh dimulakan dengan penganjuran program seperti ceramah integriti bagi menerapkan pendidikan nilai-nilai yang baik kepada pelajar sekolah.

“Program itu ialah bengkel sehari, kita akan draf program (termasuk) yang ringkas seperti pertandingan mencipta poster, menulis esei yang berkaitan dengan rasuah...dan (juga aktiviti) mewarna untuk budak kecil.

“Ceramah integriti seperti ini, kita (akan) terlibat secara terus dengan mereka (pelajar), kita akan terapkan nilai-nilai baik (kepada mereka). Pelajar ini bila jumpa dengan orang luar mereka akan lebih teruja berbeza dengan cikgu mereka sendiri (ketika mengajar),” katanya.

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye juga senada bersetuju pentingnya pendidikan antirasuah dimulakan di sekolah, tetapi beliau merasakan lebih mustahak lagi usaha untuk menanamkan sikap atau mentaliti ‘takut’ untuk melakukan rasuah dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, budaya takut melakukan rasuah itu boleh diterapkan dengan meminda akta supaya perasuah dikenakan hukuman lebih berat atau penalti yang lebih tinggi.

“Yang penting adalah aspek kesedaran dan pendidikan (menentang rasuah) tetapi pada waktu yang sama kita mahu meletakkan perasaan takut untuk melakukan rasuah. Kita perlu tanamkan perasaan takut terhadap mereka supaya tidak melakukan rasuah, sekiranya mereka terlibat, mungkin mereka perlu menerima (akibat) yang buruk," katanya.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!