Benteng Sungai Golok resahkan orang Kelantan

Pembinaan benteng di sebelah negara Thailand sedang rancak dilakukan dalam usaha menghalang limpahan air Sungai Golok.
Pembinaan benteng di sebelah negara Thailand sedang rancak dilakukan dalam usaha menghalang limpahan air Sungai Golok.
A
A
A

SETIAP kali melintasi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang menghala ke Pekan Sungai Golok, mata ini pasti tertumpu ke arah kerja pembinaan benteng yang sedang rancak dijalankan kerajaan Thailand.

Kerja-kerja pembinaan benteng oleh negara Gajah Putih itu difahamkan bertujuan untuk menghalang air Sungai Golok daripada melimpah masuk ke negara berkenaan setiap kali tibanya musim tengkujuh.

Pembinaan benteng setinggi 1.5 meter yang lengkap dengan CCTV itu menjadi alternatif terbaik kerajaan Thailand dalam membendung limpahan air sungai Golok daripada masuk ke negara berkenaan.

Bagaimanapun, situasi itu dilihat menghadirkan resah buat penduduk Kelantan khususnya warga Rantau Panjang kerana benteng itu dijangka mengakibatkan kawasan tersebut mengalami banjir lebih teruk daripada biasa.

Walaupun penduduk Rantau Panjang sudah biasa terdedah banjir setiap kali tibanya bulan November, namun riak wajah mereka tetap ‘cemas’ apabila memikirkan perkara itu.

Kerisauan penduduk Rantau Panjang itu tampak berasas apabila kerajaan seolah-olah ‘membisu’ berhubung perkara tersebut.

Ia dapat dilihat apabila pembinaan benteng banjir tidak berada dalam senarai projek yang perlu disegerakan.

Sebaliknya, pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, laluan baharu antara Pasir Puteh-Machang-Jeli, Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (Sentral Spine Road) serta Jambatan Palekbang, Tumpat-Kota Bharu berada dalam senarai projek penting.

Artikel Berkaitan:

Senarai itu diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sejurus Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pentadbiran negara daripada Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun lalu.

Mungkin projek itu dilihat lebih ‘bernafsu’ dalam menggerakkan ekonomi Kelantan yang ‘suam-suam kuku’ ketika ini.

Pembinaan benteng di Thailand tidak boleh dipandang enteng oleh pihak kerajaan Persekutuan atau negeri.

Ini kerana ia melibatkan soal masa depan puluhan ribu rakyat Rantau Panjang yang sudah sekian lama ‘bergadai gobek’ setiap kali kawasan itu ditenggelami banjir.

Walaupun setiap kali banjir penduduk Rantau Panjang menerima pelbagai bantuan daripada pelbagai pihak termasuklah kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) namun jauh di sudut hati mereka bimbang dengan pembinaan benteng oleh kerajaan Thailand itu.

Justeru, pembinaan benteng di sepanjang Sungai Golok sebelah Malaysia dilihat sebagai keperluan mendesak yang perlu disegerakan jika tidak mahu melihat Rantau Panjang dilanda bah besar.

Sungguhpun banjir itu adalah ketentuan ALLAH, namun perkara tersebut boleh dikurangkan sekiranya langkah awal dapat dikenal pasti dan diambil tindakan.

Mahu atau tidak wakil rakyat yang telah diberi mandat menerajui kawasan itu perlu lebih ‘bekeng’ dalam membawa isu tersebut di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

Puluhan ribu rakyat Rantau Panjang pastinya menagih kelantangan wakil rakyat mereka untuk membuat desakan secara terbuka di Parlimen mahupun DUN bagi mendesak kerajaan menyegerakan projek tersebut.

Oleh itu, gunalah mandat yang telah diberikan rakyat dengan sebaik mungkin.

Sekurang-kurangnya mereka nampak kelantangan wakil rakyat yang dipilih berbahas di Dewan Rakyat atau DUN dalam memperjuangkan masalah mereka.

Takkan nak tunggu semboyan PRU dibunyikan baru kalut hendak buat kerja. Harus diingat, rakyat sedang menilai hasil kerja pemimpin yang dipilih.

Kalau mahu terus berkhidmat, teruslah bekerja. Jangan hanya pandai ‘mengamuk’ di kedai-kedai kopi, tapi menikus di Dewan Rakyat atau DUN pula.

Pembinaan benteng itu juga secara tidak langsung menjadi serampang dua mata iaitu boleh membantu mengurangkan limpahan air Sungai Golok daripada masuk ke Rantau Panjang dan pada masa sama ia berperanan dalam menyekat aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand bermula dari Pengkalan Kubor (Tumpat) hingga ke Bukit Bunga (Jeli).

* Hazelen Liana Kamarudin ialah wartawan Sinar Harian edisi Kelantan