Tangani kemelut Nafas

Pertubuhan Peladang Kebangsaan.- Foto: nafas.com.my
Pertubuhan Peladang Kebangsaan.- Foto: nafas.com.my
A
A
A

JANJI untuk melaksanakan tender secara terbuka terkandung dalam Buku Harapan yang membawakan tema Membina Negara Memenuhi Harapan.

Di bawah Janji 23 iaitu memastikan sistem perolehan kerajaan menjana faedah maksimum untuk wang rakyat, Pakatan Harapan (PH) telah berjanji untuk mereformasi sistem perolehan dan pemberian kontrak kerajaan, demi memastikan ia lebih berdaya saing dan menjana nilai yang terbaik untuk wang rakyat.

Bagaimanapun, kerajaan PH kini berdepan dengan kemelut apabila Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menimbulkan isu pemberian tender bernilai RM1.4 bilion kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Perkara tersebut dilihat bertentangan dengan dasar yang ditetapkan kerajaan untuk memastikan pemberian tender pada jumlah yang besar dilakukan secara telus dan terbuka.

Ka Siong mendakwa, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah bertindak membatalkan kontrak terbabit yang telah diberikan kepada pihak lain dan diserahkan semula kepada Nafas.

Pada dasarnya, Nafas yang dilancarkan pada 31 Mac 1972 berperanan sebagai pertubuhan induk kepada pertubuhan peladang dan mereka menceburkan diri dalam pelbagai aktiviti perniagaan dan pelaburan khususnya dalam bidang pertanian.

Selain memberikan fokus kepada perniagaan, Nafas turut memberikan bantuan dan memenuhi tuntutan sosial terhadap ahli-ahli peladang.

Melalui Tabung Kumpulan Wang Nafas, mereka telah menjalankan tanggungjawab sosial dengan memberikan bantuan kepada Pertubuhan-Pertubuhan Peladang Negeri, Pertubuhan-Pertubuhan Peladang Kawasan dan juga ahli-ahli peladang di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan pemberian kontrak baja kepada pertubuhan itu sudah dilaksanakan sejak tahun 1980-an lagi dan pemberian kontrak itu juga adalah untuk membela nasib 921,931 ahli peladang yang memiliki saham dalam pertubuhan itu.

Sekiranya Nafas tidak dibantu, maka nasib kesemua peladang di negara ini akan terjejas dan lebih merugikan ialah dalam kalangan mereka adalah orang Melayu.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin memberi penjelasan bahawa kerajaan berhak menentukan sama ada pemberian tender tersebut diberikan secara terbuka atau terus.

Pemberian tender secara terus memang perlu dilaksanakan bukan sahaja melibatkan perkhidmatan atau peralatan tertentu malah ia juga penting untuk melindungi kumpulan tertentu seperti peladang dan petani.