Tentera Turki bersama proksi mereka lancar operasi baharu

Operasi ketenteraan itu didakwa telah menyebabkan kemusnahan harta benda yang besar.
Operasi ketenteraan itu didakwa telah menyebabkan kemusnahan harta benda yang besar.
A
A
A

DAMSYIK - Tentera Turki bersama proksi mereka melancarkan operasi ketenteraan baharu di wilayah utara Syria selepas lebih sebulan serangan rentas sempadan dilancarkan untuk menghapuskan kumpulan Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG).

Agensi berita SANA melaporkan serangan balas itu menyasarkan kawasan kejiranan di Ayn Issa terletak kira-kira 45 kilometer di utara wilayah Raqqah kelmarin dan turut menyebabkan kemusnahan harta benda yang besar.

"Kami perlu bertindak balas sebagai tindakan mempertahankan diri kerana elemen kami di selatan Tal Abyad menjadi sasaran mortar dan artileri dibedil YPG," kata Kementerian Pertahanan Turki dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pemerhati Hak Asasi Manusia di Syria (SOHR) mendakwa Tentera Pembebasan Syria (SDF) termasuk pejuang Kurdish cuba menghalang kemaraan tentera Turki bersama proksi mereka ke bandar itu.

Di wilayah Hasakah di timur laut Syria, sumber tempatan memaklumkan tentera Turki telah menubuhkan pangkalan baharu di pinggir bandar Ra's al Ayn yang mana jentera milik mereka didakwa telah meratakan bentuk muka bumi dan membina kubu.

Pada 9 Oktober lalu, pasukan tentera Turki dan militan disokong Ankara melancarkan Operation Peace Spring di sepanjang sempadan Syria sebagai usaha untuk menghapuskan pejuang Kurdish dari kawasan itu.

Ankara melihat YPG sebagai sebuah pertubuhan pengganas yang didakwa ada kaitan dengan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang menuntut wilayah autonomi Kurdish di Turki sejak 1984.

Pada 22 Oktober lalu, Presiden Rusia, Vladimir Putin dan rakan sejawatannya dari Turki, Recep Tayyip Erdogan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang menegaskan pejuang Kurdish perlu menarik diri daripada 'zon selamat' dikawal Ankara di timur laut Syria dalam tempoh 150 jam selain persetujuan dicapai antara Ankara dan Moscow untuk melakukan rondaan bersama. - Agensi

Artikel Berkaitan: