Bora berusaha pastikan spesis badak sumbu Sumatera tidak pupus

Iman, badak sumbu Sumatera terakhir di Malaysia menemui ajal petang ini di Pusat Perlindungan Badak Sumbu Borneo di Sabah. - Foto Bernama
Iman, badak sumbu Sumatera terakhir di Malaysia menemui ajal petang ini di Pusat Perlindungan Badak Sumbu Borneo di Sabah. - Foto Bernama
A
A
A

SANDAKAN - Borneo Rhino Alliance (Bora) akan terus beroperasi di Santuari Badak Borneo di Rizab Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu bagi usaha memulihkan semula angka badak sumbu Sumatera di Sabah yang kini diisytihar pupus di Malaysia termasuk memastikan kelangsungan spesies terancam lain.

Pengerusinya, Prof Dr Abdul Hamid Ahmad menjelaskan, Bora bersama kerajaan negeri komited untuk merealisasikan perjanjian persefahaman mengenai konservasi badak Sumatera termeterai dengan kerajaan Indonesia.

"Seperti dilaporkan, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew (yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah) telah menyatakan komitmen dengan perjanjian itu.

"Ini penting kerana kita terus berusaha untuk memperkasakan teknologi pengkulturan sel badak Sumatera kerana teknologi ini mempunyai banyak potensi.

"Walaupun belum banyak kejayaan, bidang sains membuktikan bahawa kejayaan akan meningkat apabila kepakaran kita meningkat," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Hamid ditanya mengenai tindakan Bora seterusnya susulan kematian Iman, badak Sumatera betina terakhir di Malaysia, semalam.

Mengenai kematian Iman, beliau berkata, Bora bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah dan agensi serta badan bukan kerajaan berkaitan telah memberikan dedikasi yang lama dan tinggi dalam usaha memanjangkan usia Iman dan badak terdahulu yang sempat dibawa ke dalam kurungan.

Bagaimanapun, beliau berkata, hampir semua yang dibawa ke dalam kurungan mempunyai isu kesihatan kronik.

Artikel Berkaitan:

"Apabila kita perhatikan, semua isu ini adalah kerana sekian lamanya badak kita terasing daripada membiak seperti biasa (dalam habitat semula jadi).

"Seperti banyak mamalia lain, jika haiwan tidak membiak seperti biasa, mengawan, bunting dan beranak, maka akan timbul isu patologi yang menyerang sistem pembiakan, terutamanya haiwan betina," jelasnya.

Abdul Hamid berkata, Iman telah mempunyai ketumbuhan pada saluran peranakan (uterus) yang dipanggil 'leiomyoma' iaitu ketumbuhan seperti fibroid pada manusia.

"Dalam perut Iman, ia (ketumbuhan) besar sekali, sekitar tujuh kilogram, yang menekan sistem pembiakan Iman sehingga Iman mengalami pendarahan yang kerap sepanjang dijaga di Tabin," katanya.

Abdul Hamid berkata, susulan bedah siasat ke atas Iman lewat petang semalam, pakar haiwan telah mengambil tisu hidup daripada Iman seperti yang telah dibuat pada badak Sumatera sebelum ini untuk dikulturkan.

Bagi tubuh badan Iman, beliau berkata, tulang rangka dan kulit badak itu akan diawetkan dan disimpan bagi memberi manfaat kepada orang ramai.

"Saya harus memberitahu bahawa pengurus lapangan dan doktor veterinar Bora, Dr Zainal Zahari Zainuddin sangatlah berdedikasi dan sentiasa berjaya mengatasi masalah dalam semua episod kehidupan Iman sehinggalah semalam apabila Iman mati sendiri," katanya.

Iman mati pada 5.35 petang semalam di Santuari Badak Borneo kira-kira enam bulan selepas badak Sumatera jantan terakhir negara mati akibat kegagalan buah pinggang pada 27 Mei lepas. - Bernama