Korban ribut di Filipina cecah 126 orang

Lebih 152,000 penduduk hilang tempat tinggal.
A
A

MANILA - FILIPINA. Jumlah kematian akibat ribut yang melanda Filipina tidak lama selepas sambutan Hari Natal baru-baru ini telah meningkat kepada 126 orang, menurut pihak berkuasa pada Ahad.

Ribut tersebut membadai tengah dan timur Filipina pada 29 Disember lalu dan menyebabkan tanah runtuh serta banjir besar.

"Lebih 100 terkorban di kawasan pergunungan Bicol di tenggara Manila. Angka kematian dijangka meningkat kerana 26 lagi dilaporkan masih hilang," kata pegawai bencana wilayah.

Jelasnya, ramai penduduk enggan meninggalkan rumah masing-masing kerana cuti panjang sempena sambutan Hari Natal.

Difahamkan, ramai penduduk gagal mengambil langkah berjaga-jaga kerana ribut itu tidak terlalu kuat untuk dikategorikan sebagai taufan di bawah sistem amaran kerajaan.

Agensi bencana kerajaan memaklumkan lebih 152,000 penduduk hilang tempat tinggal manakala 75 lagi cedera dalam kejadian ribut itu.

Jumaat lalu, Presiden Rodrigo Duterte turut melawat kawasan terjejas dan menggesa pembinaan pusat pemindahan berbanding menggunakan sekolah dan pusat perlindungan menempatkan mangsa.

Pada 2013, taufan terburuk, Haiyan yang menyebabkan kemusnahan besar telah mengakibatkan lebih 7,360 maut atau hilang di seluruh tengah Filipina. - AFP


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia