Penunggang motosikal maut dirempuh kereta

Gambar mangsa maut di lokasi kejadian tular di laman sosial.
Gambar mangsa maut di lokasi kejadian tular di laman sosial.
A
A
A

KLANG - Seorang penunggang motosikal maut dipercayai dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan di KM18 Jalan Pelabuhan Barat dari Shah Alam menghala ke Pelabuhan Barat di sini semalam.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Klang Selatan, Deputi Superintendan Md Dom Dollah berkata, mangsa, Mohd Syahid Abd Halim, 32, dikatakan dalam perjalanan menuju ke Pulau Indah.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila kereta Proton Wira yang dipandu dari arah sama terbabas lalu merempuh belakang motosikal yang ditunggang mangsa.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa yang berasal dari Alor Setar, Kedah cedera parah di kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata, pemandu kereta kemudian terus melarikan diri dan siasatan pihaknya mendapati kenderaan yang dipandu suspek adalah kereta curi dan dilaporkan hilang di Bandar Kinrara.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil ke Balai Polis Trafik Klang untuk membantu siasatan.

"Kes di siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: