Anwar tidak mahu terburu-buru ganti Dr Mahathir

Anwar berucap peserta di Konvensyen Reformis 2019 di sini.
Anwar berucap peserta di Konvensyen Reformis 2019 di sini.
A
A
A

SHAH ALAM – Saya tidak mahu terburu-buru mengambil alih jawatan Perdana Menteri kelapan dari Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada kira kira 1,000 peserta di Konvensyen Reformis 2019 hari ini, Anwar berkata, beliau akan memberi ruang kepada Dr Mahathir untuk mengurus dan memulihkan ekonomi negara terlebih dahulu.

“Saya pilih jalan yang aman, tidak mahu berlaku suasana kecoh. Saya mahu beri ruang padanya (Dr Mahathir) tadbir urus dengan rakan-rakan kita di Kabinet untuk memulihkan ekonomi supaya transisi itu berlaku dengan baik. Ini pendirian saya.

“Saya minta semua, baik Otai Reformis, ahli-ahli Keadilan (PKR) agar bersabar kerana keadaan tenang dan damai akan memudahkan saya mengambil alih jawatan Perdana Menteri,” katanya pada konvensyen diadakan di Ideal Convention Centre itu.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok yang juga merupakan Pengerusi Otai 98, Dr Idris Ahmad serta beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Anwar berkata, dalam Mesyuarat Presiden PH kelmarin juga, Dr Mahathir dengan jelas menyatakan bahawa Dr Wan Azizah adalah Timbalan Perdana Menteri dan dirinya Perdana Menteri kelapan.

Katanya, kenyataan dan jaminan Dr Mahathir itu sudah jelas dan berharap semua pihak agar dapat bersabar.

Anwar turut menegaskan bahawa beliau juga tidak gusar dengan segala tohmahan dari pihak tertentu kononnya ada pemimpin lain yang akan dilantik sebagai Perdana Menteri bagi menggantikan Dr Mahathir.

Artikel Berkaitan:

“Yang akan tentukan saya menjadi Perdana Menteri kelapan bukan dua tiga kerat pemimpin ini (tetapi) yang tentukannya adalah rakyat,” katanya.

Sambil menyifatkan ia adalah suara-suara terpencil, beliau berkata, segala tohmahan itu tidak akan memberi kesan kepada peralihan kuasa antara beliau dengan Dr Mahathir apabila sampai masanya nanti.

Sementara itu, mengulas mengenai isu rombakan Kabinet, Anwar berpendirian untuk tidak menerima sebarang jawatan sekiranya berlaku rombakan.

Katanya, beliau juga tidak pernah bercadang untuk menawarkan diri menyertai Kabinet sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan, menggantikan Dr Mahathir.

"Saya tidak bercadang untuk menyertai Kabinet (Dr Mahathir)," katanya.