Perlis kekal had umur minimum perkahwinan 18 tahun

Gambar hiasan (Gambar kecil: Azlan Man)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Azlan Man)
A
A
A

KANGAR - Kerajaan Perlis mengekalkan penetapan had minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi lelaki dan perempuan di negeri ini.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, perkara berkenaan terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

"Meskipun had umur minimum perkahwinan adalah 18 tahun namun ia tidak menjadi sebarang masalah jika perkahwinan itu dibenarkan oleh ibu bapa atau wali mereka.

"Kalaupun mereka (bawah umur) dan dah baligh (cukup umur), kita tidak pernah menghadapi masalah asalkan keluarga mereka membenarkan," katanya.

Terdahulu, Kedah turut mengumumkan untuk meminda enakmen berkaitan penetapan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

Kelantan pula masih kekal dengan keputusan sebelum ini, 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun untuk lelaki sebagai mengekang gejala sosial.

Sabah pula yang bersama empat negeri lain sebelum ini setuju meminda perundangan berkaitan had umur perkahwinan hari ini turut tampil dengan komitmen untuk mencari pendekatan dan langkah terbaik bagi menangani isu perkahwinan bawah umur di negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika sidang Dewan Rakyat baru-baru ini memberitahu kerajaan sedang menyiapkan Draf Pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani isu perkahwinan bawah umur.

Artikel Berkaitan:

Draf itu akan membabitkan pindaan kepada Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) dengan menetapkan umur minimum perkahwinan bagi wanita kepada 18 tahun.