Lelaki simbah anak air panas ditahan

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Lelaki yang menyimbah anak perempuannya dengan menggunakan air panas di Flat Kampung Melayu, Air Itam ditahan pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, lelaki berusia 41 tahun itu ditahan bersama isterinya di hadapan sebuah kedai menjual durian di Paya Terubong.

Menurutnya, dia ditahan bersama isteri yang berusia 34 tahun pada jam 10 pagi tadi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

"Bertindak maklumat yang diperolehi, sepasang suami isteri itu ditahan di hadapan kedai durian Cap Kaki di Paya Terubong.

"Polis sedang mendapatkan perintah reman bagi membolehkan soal siasat dijalankan. Kedua-dua suami isteri itu tiada rekod jenayah manakala ujian saringan air kencing juga negatif," katanya ketika dihubungi tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 13(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Dalam kejadian pada malam 27 Disember lalu, seorang kanak-kanak perempuan melecur di beberapa bahagian badannya dipercayai disimbah air panas oleh bapa kandungnya.

Mangsa berusia lapan tahun itu dikatakan disimbah air panas di badan selepas bapanya berang kerana makanan yang disediakan isterinya habis dimakan empat anaknya termasuk mangsa.

Artikel Berkaitan:

Akibat daripada itu, mangsa melecur di lengan, rusuk serta dada kanan namun tidak memerlukan pembedahan plastik.

Ia berikutan peratusan melecur pada badan mangsa hanya tiga peratus dan dikategorikan sebagai 'mid-dermal burn'.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, suspek yang bekerja sebagai ejen jualan kad prabayar di sebuah pasaraya di Bayan Baru baru pulang daripada bekerja dan dalam keadaan lapar.

Bagaimanapun, suspek mendapati makanan yang disediakan isterinya telah dihabiskan lalu bertindak mengejutkan keempat-empat anaknya yang sedang tidur dan memukul mereka.

Selepas memarahi dan memukul mereka, suspek menyimbah semangkuk air panas dari mesin penapis air minuman ke arah mangsa.

Susulan daripada itu, suspek bersama isteri dan anak bongsunya telah melarikan diri kerana bimbang ditahan polis.

Mangsa merupakan anak kedua daripada empat adik beradik lelaki itu dikatakan sering diabaikan oleh kedua ibu bapa mereka.

Anak sulung kepada sepasang suami isteri itu berusia sembilan, ketiga enam dan yang bongsu berusia tiga tahun.

Menurut jiran, kesemua mereka diabaikan ibu bapa dan sering dilihat berkeliaran di kawasan kediaman tanpa pengawasan orang dewasa.