Asmuni, Nizar kekal terajui Amanah Perak

Asmuni (tengah) bersama-sama kepimpinan baharu Amanah Perak yang terpilih pada pemilihan semalam.
Asmuni (tengah) bersama-sama kepimpinan baharu Amanah Perak yang terpilih pada pemilihan semalam.
A
A
A

IPOH - Keputusan pemilihan Amanah Perak yang berlangsung semalam menyaksikan dua Exco kerajaan negeri, Datuk Asmuni Awi dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kekal sebagai pengerusi dan timbalan pengerusi.

Selain dua jawatan itu, Naib Pengerusi 1, Dr Muhaimin Sulam dan Naib Pengerusi 2, Dr Fakhruldin Mohd Hashim turut kekal meneruskan tugas masing-masing sehingga 2022.

Sementara itu, turut tersenarai dalam 17 ahli jawatankuasa Amanah Perak yang baharu adalah Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim serta Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kamunting, Dr Muhd Fadhil Nuruddin.

Bagaimanapun, dua wakil rakyat iaitu ADUN Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor dan ADUN Behrang yang juga Timbalan Speaker DUN Perak, Aminuddin Zulkipli kecundang apabila masing-masing mendapat 79 dan 76 undi.

Pemilihan kali ini juga turut menampilkan empat muka baharu yang tersenarai dalam Jawatankuasa Amanah Perak iaitu Ketua Kawasan Larut, Mohd Nazri Din; Timbalan Ketua Kawasan Larut, Razali Ismail; Ketua Kawasan Kuala Kangsar, Dr Ahmad Termizi Ramli dan Ahli Jawatankuasa Kawasan Ipoh Timor, Halilah Hamidun.

Keputusan pemilihan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Amanah Nasional, Dr Zulqarnain Lukman.

Seramai 186 perwakilan terlibat dalam proses pengundian terdiri daripada pimpinan negeri hinggalah kepada ketua-ketua kawasan.

Pemilihan Amanah Perak diadakan sempena Konvensyen Amanah Perak yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub di sebua hotel di sini.

Artikel Berkaitan: