PH didakwa hilang kewibawaan, tidak diyakini rakyat

Shamsul Anuar Nasarah
Shamsul Anuar Nasarah
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa mula hilang kewibawaan dan tidak diyakini pelbagai pihak disarankan menyerahkan mandat semula kepada rakyat.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan baharu perlu membiarkan sahaja rakyat menentukan masa depan negara.

Menurutnya, keyakinan rakyat terhadap kerajaan juga semakin berkurang disebabkan situasi ekonomi negara juga kurang memberangsangkan selain kebajikan dan isu rakyat kurang diberi perhatian.

"Pengaliran keluar dana asing dari Bursa Malaysia mencecah sehingga AS$2 Bilion. Ringgit Malaysia (RM) diparas AS$4.19 ketika ini.

"Setelah lebih 18 bulan memerintah, pelaburan asing begitu kurang biarpun perdana menteri dan ramai menteri keluar negara," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya semalam

Katanya, hutang negara bertambah daripada RM686.8 Bilion sebelum Mei 2018 kepada RM809 Bilion ketika ini dan terbaharu, menteri kewangan meminjam lagi RM2.7 bilion sekali gus meningkatkan lagi hutang negara selain aset serta harta negara terus mahu dijual.

"Terbaru, laporan media menyebut UEM Sunrise milik Khazanah dikatakan akan digabungkan dengan syarikat swasta EcoWorld milik Tan Sri Liew Kee Sin selewatnya akhir tahun ini.

"Jika ini berlaku pasti ia akan menjadi syarikat hartanah terbesar di Malaysia. Persoalannya siapa yang akan mengurus syarikat ini? Kerajaan PH mesti telus dan menjelaskannya kepada rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Shamsul Anuar berkata, PH perlu mengakui kekalahan di empat pilihan raya kecil iaitu Parlimen Cameron Highlands, Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, DUN Rantau dan terbaru Parlimen Tanjung Piai kepada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti besar 15,086 adalah sebagai satu isyarat jelas penolakan rakyat kepada PH.

Dakwanya lagi, semua itu adalah bukti kerajaan PH tidak diyakini dan krisis kepimpinan berkaitan isu peralihan kuasa menjejaskan negara dan rakyat.

"Hampir kesemua parti politik dalam kerajaan PH menghadapi masalah. Semua ini menjejas tumpuan Kerajaan PH memajukan negara dan membela rakyat.

"Kita bimbang Malaysia akan mundur ke belakang dan akan ditinggalkan dalam pelbagai bidang terutama ekonomi oleh negara jiran dan serantau," katanya.