Siasat segera isu tender RM1 bilion Nafas

Jais Abdul Karim
Jais Abdul Karim
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa membuat siasatan berhubung dakwaan amalan salah guna kuasa susulan tindakan kerajaan membatalkan pemilihan tiga kontrak berkaitan padi melalui tender terbuka membabitkan nilai lebih RM1 bilion.

Presiden Malaysia Corruption Watch (MCW), Jais Abdul Karim berkata, siasatan segera perlu dilakukan kerana dakwaan tersebut sangat serius melibatkan kredibiliti dan integriti menteri dan kementerian yang berkaitan yang boleh dikenakan tindakan tatatertib sekiranya berlaku.

Beliau berkata, sebagai sebuah kerajaan berintegriti, Pakatan Harapan (PH) tidak boleh bertolak-ansur dengan sebarang salah laku dalam pentadbiran meskipun Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

"Mereka tetap perlu mematuhi segala syarat tender yang ditetapkan dan perlu akur dengan urusan tender. Janganlah demi untuk menjaga syarikat di bawah kementerian maka tender itu dibatalkan semata-mata syarikat atau agensi itu tidak mendapat tender tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu Nafas: Bukan serangan politik

Isu Nafas: Biar menteri, kementerian sesuai beri penjelasan

"Saya risau jika ini akan menjadi satu trend, maka kita akan berdepan dengan pelbagai masalah pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang mendakwa tiga kontrak bernilai lebih RM1 bilion dibatalkan selepas MOA dikatakan mahu menganugerahkan projek kepada Nafas secara rundingan terus.

Artikel Berkaitan:

Jais berkata, jika menteri membenarkan tindakan secara rundingan terus itu atau memperolok-olokkan prinsip pembaharuan yang mahu diikuti oleh kerajaan PH, ia akan memberikan satu cerminan bahawa segala usaha iatu akan menjadi sia-sia.

"Apabila kerajaan sudah membuka tender, syarikat-syarikat yang masuk tender termasuk Nafas, sudah semestinya memberikan sebut harga yang terbaik di mana masing-masing mampu berikan. Lembaga tender tersebut telah membuat keputusan yang terbaik bagi pihak kerajaan," katanya.

Jais berkata, difahamkan pelbagai pihak telah membuat aduan kepada SPRM sejak perkara ini dilaporkan oleh Wee Ka Siong dan mula tular di media sosial.

"Perkara itu perlu diperbetulkan. Maka perlulah dijalankan siasatan demi memastikan bahawa kita tidak bertolak ansur dengan sistem yang kita telah kita buat sendiri," tegasnya.