Komuniti berupaya jadi ejen perubahan: Dr Wan Azizah

Dr Wan Azizah
Dr Wan Azizah
A
A
A

IPOH - Komuniti berupaya menjadi ejen perubahan masyarakat sekiranya diberikan panduan dan latihan yang sistematik, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, selain itu komuniti yang bertanggungjawab juga dapat membantu kerajaan menangani isu setempat seperti masalah kebajikan dan sosial.

"Saya percaya peranan komuniti sangat penting dalam membantu masyarakat khususnya kumpulan sasar kementerian dalam meneruskan kehidupan dengan lebih sejahtera.

"Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendukung konsep Pendekatan Berasaskan Komuniti sebagai satu kaedah untuk membantu masyarakat dalam meningkatkan kualiti kehidupan," katanya ketika merasmikan Program Santuni Rakyat (PSR) peringkat negeri Perak di Meru Raya di sini hari ini.

Teks ucapan Dr Wan Azizah dibacakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, sehingga 31 Oktober ini, seramai 134,674 wanita telah berdaftar dengan Skim Caruman Sukarela Insentif Suri (iSuri) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan 7,382 orang adalah di Perak.

"Saya menyeru kepada semua suri rumah yang layak di luar sana, manfaatkanlah skim ini dan rebutlah peluang untuk memastikan keselamatan sosial anda terjamin di masa hadapan," katanya.

Mengenai PSR, Dr Wan Azizah berkata ia merupakan penghubung antara masyarakat, khususnya golongan memerlukan dengan pelbagai agensi kerajaan, sektor korporat dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang sedia menghulurkan bantuan serta perkhidmatan bagi kesejahteraan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Katanya PSR di Ipoh merupakan kesinambungan daripada beberapa siri PSR yang dilaksanakan bermula tahun lalu di Selangor dan seterusnya di Johor, Pahang, Sarawak, Kedah serta Melaka, pada tahun ini dan berharap ia dapat diteruskan lagi. - Bernama