Penjenamaan Kompleks Teruntum selesai isu strata

Abd Rahim (dua dari kiri) merasmikan Mesyuarat Agung DPMM Pahang kali ke-44 di Hotel Sri Malaysia di sini hari ini.
Abd Rahim (dua dari kiri) merasmikan Mesyuarat Agung DPMM Pahang kali ke-44 di Hotel Sri Malaysia di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Penjenamaan semula pusat perniagaan Kompleks Teruntum akan dimulakan dengan penyelesaian isu pemilikan strata.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Abd Rahim Muda berkata, perkara tersebut akan selesai tidak lama lagi dan hanya membabitkan sedikit lagi perundingan sebelum memberi hak milik kepada pembeli di sana.

Menurutnya, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) turut terlibat secara langsung dalam membantu menghidupkan kembali kompleks tersebut agar menjadi tarikan pengunjung.

"Kita telah membuat lawatan dan dapati kompleks itu agak malap. Kuantan Parade yang terletak di sebelahnya tiada masalah.

"Susulan itu kerajaan telah meluluskan peruntukan untuk baik pulih kemudahan di kompleks tersebut. Antaranya lif dan persekitaran supaya diberi imej yang baharu. Kita turut memberi ruang kepada peniaga memajukan Kompleks Teruntum termasuk mengalu-alukan program mengimarahkan kompleks tersebut.

"Ertinya program-program yang melibatkan peniaga dan orang ramai sama ada dari segi jualan, pesta dan sebagainya," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 200 ahli Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pahang di Hotel Sri Malaysia di sini.

Beliau berucap sempena merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke 44 pertubuhan tersebut hari ini.

Terdahulu, isu berkaitan Kompleks Teruntum pernah disuarakan peniaga dan akhirnya disebut ke pengetahuan Sidang Dewan Negeri ke-14 baru-baru ini dan kerajaan menerusi Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, penjenamaan itu akan dilakukan oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) yang kini sedang dalam perancangan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Abd Rahim memaklumkan pengiktirafan Kuantan sebagai taraf bandaraya tahun hadapan dijangka memberi impak positif kepada peniaga.

Katanya, isu berkaitan kenaikan takrif cukai dan sebagainya tidak perlu dibimbangi kerana kenaikan takrif tetap boleh berlaku meski pun tanpa taraf bandar raya.