X

Kindly register in order to view this article
!

Denda merokok dikurangkan jika bayar awal

Dzulkefly (dua dari kiri) merasmikan Fasa Tiga Program Kemasyarakatan Saringan Mamogram di Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) hari ini. -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan bercadang mengurangkan bayaran denda kesalahan merokok di kawasan larangan daripada RM250 kepada RM150 bagi pesalah yang membuat bayaran denda awal.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penguatkuasaan terhadap golongan perokok bukan semata-mata aspek hukuman atas kesalahan merokok di kawasan larangan tetapi lebih penting ia bertujuan mendidik orang ramai serta memberi penjelasan tentang tindakan kerajaan.

“Kita ada 20,000 rakyat yang meninggal dunia akibat penyakit berkaitan rokok, sama ada kanser dan sebagainya, sebab itu saya ambil tindakan ini.

“Apa yang ingin saya tekankan di sini adalah bukan wang ringgit yang kami mahukan dan mengharamkan merokok bukan satu tugas...saya tidak mahu perokok pasif didedahkan kepada asap rokok tersebut yang beri kesan buruk kepada kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program Mamogram Percuma Etiqa - fasa ketiga dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) di sini, hari ini.

Kementerian Kesihatan telah menetapkan mulai 1 Januari perbuatan merokok hanya boleh dilakukan di luar jarak tiga meter dari setiap premis berkenaan.

Bagi kesalahan merokok di kawasan larangan, kompaun sebanyak RM250 boleh dikenakan dan sekiranya gagal membayar kompaun, mereka akan didakwa di mahkamah dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau tidak lebih dua tahun penjara.

Sementara itu, Program Mamogram Percuma tersebut yang turut dijalankan di beberapa hospital terpilih di sekitar Semenanjung Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM2 juta menyediakan 6,000 pemeriksaan kanser payudara percuma untuk wanita yang kurang bernasib baik dan berusia 40 tahun ke atas.

Program Mammogram Percuma Etiqa fasa ketiga itu merupakan lanjutan kejayaan fasa satu dan dua program itu yang telah memberi manfaat kepada 11,000 wanita kurang berkemampuan di seluruh Semenanjung Malaysia. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus