Pelajar tingkatan lima ditahan terlibat kes culik, samun

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pelajar tingkatan lima antara empat yang ditahan kerana terlibat dalam kejadian samun dan culik di Taman Sri Muda pada 14 November lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, suspek bersama tiga lagi rakannya berumur antara 19 hingga 25 tahun menculik seorang warga asing.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa yang berusia 23 tahun berjalan kaki bersama seorang rakannya untuk ke tempat kerja di sebuah restoran sebelum didatangi suspek yang menaiki kereta jenis Saga FLX.

"Ketika dihampiri, rakan suspek sempat melarikan diri. Dia kemudiannya menghubungi seorang lagi rakan sekerja mereka iaitu wanita warga Indonesia bagi memaklumkan kejadian berkenaan.

“Selepas itu, wanita Indonesia berkenaan menghubungi pihak polis kira-kira jam 10 pagi,” katanya.

Katanya, polis kemudiannya berjaya mengesan kereta yang dinaiki keempat-empat suspek berkenaan di kawasan sama.

"Siasatan mendapati mangsa diugut supaya menyerahkan wang RM2,000 sekiranya mahu dilepaskan.

“Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sejak 15 November lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 365 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: