[VIDEO] 'Terserah PM, itu hak dia jika nak rombak Kabinet'

Mujahid (duduk, dua dari kiri) dan Mohamad pada sidang akhbar selepas perasmian Konvensyen Amanah Pulau Pinang ke-4 2019 tadi.
Mujahid (duduk, dua dari kiri) dan Mohamad pada sidang akhbar selepas perasmian Konvensyen Amanah Pulau Pinang ke-4 2019 tadi.
A
A
A

BAYAN BARU - [DIKEMASKINI] Dua menteri dari Parti Amanah Negara (Amanah) menyerahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu rombakan Kabinet yang panas diperkatakan mutakhir ini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, rombakan Kabinet adalah hak Dr Mahathir sebagai pemimpin nombor satu negara.

Menurutnya, sekiranya berlaku rombakan, ia perlu diterima oleh semua barisan menteri Kabinet yang terlibat.

"Perkara ini kita serah kepada PM. Itu hak dia, dia nak rombak, bila-bila masa pun boleh sebab itu hak dia.

"Terserah kepada dia, sama ada kita setuju atau tidak, itu hak dia. Dia boleh rombak atau tidak," katanya pada sidang akhbar tadi.

Beliau ditemui selepas merasmikan Konvensyen Amanah Pulau Pinang ke-4 2019 di sebuah hotel di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Mahathir pertimbang rombak Kabinet

Sementara itu, pada sidang akhbar sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, beliau juga bersetuju dengan Mohamad selain menyifatkan rombakan Kabinet sebagai perkara biasa.

"Itu (rombak Kabinet) biasa. Dari tahun lalu lagi isu ini diperkatakan. Pelbagai spekulasi dibuat. Walau apa pun diperkatakan, kami di Kabinet menjalankan tugas seperti biasa.

Artikel Berkaitan:

"Saya setuju dengan Mohamad, isu rombakan adalah hak PM. Dr Mahathir pun ada sebut, dia akan berunding dengan ketua-ketua parti dahulu sebelum rombakan dibuat, jika ada," katanya.

Ditanya adakah beliau akan berkecil hati sekiranya namanya digugurkan, Mujahid berkata, tiada istilah berkecil hati kerana keputusan belum dibuat.

Mohamad (dua dari kiri) dan Mujahid menyerahkan cenderahati kepada balu salah seorang ahli Amanah Pulau Pinang yang telah meninggal dunia.
Mohamad (dua dari kiri) dan Mujahid menyerahkan cenderahati kepada balu salah seorang ahli Amanah Pulau Pinang yang telah meninggal dunia.

"Benda tidak berlaku, macam mana nak buat keputusan? Apa sahaja boleh jadi. Lagi pun bukan kehendak kami untuk duduk dalam Kabinet, kami diberi mandat. PM sendiri hubungi kami seorang demi seorang.

"Dia ambil (kami) di atas penilaiannya sendiri. Jadi sekarang, terserah kepada keputusannya.

"Tidak timbul kecil hati kerana kita tidak tahu apa nak berlaku. Benda tak tahu, nak kecil (hati) apa? Mungkin sekiranya berlaku, kita jadi seronok. Susah nak sebutlah," katanya.

Mohamad dan Mujahid antara barisan menteri Kabinet yang diperkatakan perlu digugurkan selepas kegagalan PH di PRK Parlimen Tanjung Piai minggu lalu.

Bagaimanapun kelmarin, Dr Mahathir menegaskan hanya beliau boleh menentukan kedudukan seseorang menteri dalam Kabinetnya sekiranya rombakan dilakukan.

Dr Mahathir berkata, beliau akan menimbang desakan agar rombakan Kabinet dibuat selain akan mendengar pandangan Majlis Presiden PH berhubung desakan berkenaan.

Begitupun, rombakan itu akan mengambil masa kerana memerlukan penelitian yang sempurna sebelum mengubah kedudukan menteri-menteri sedia ada.