Rombakan Kabinet: Bimbang persiapan APEC terjejas

Mukhriz meninjau ruang pameran Karnival Pendidikan, Kerjaya dan Keusahawanan Parlimen Jerlun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Jerlun hari ini.
Mukhriz meninjau ruang pameran Karnival Pendidikan, Kerjaya dan Keusahawanan Parlimen Jerlun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Jerlun hari ini.
A
A
A

JERLUN - Rombakan Kabinet dalam tempoh terdekat dibimbangi boleh menjejaskan persiapan negara selaku tuan rumah Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tahun hadapan.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sebarang perubahan portfolio menteri dan timbalan menteri kemungkinan kurang sesuai dilakukan sebelum persidangan itu kerana banyak aspek perlu diutamakan bagi kelancaran penganjurannya.

Menurutnya, ia juga dibimbangi menimbulkan ketidaktentuan dalam pentadbiran susulan perubahan itu kelak menyebabkan menteri baharu yang dilantik harus kembali belajar dari peringkat awal.

“Kita ada banyak kerja tahun depan sebagai tuan rumah APEC, yang akan dihadiri ketua-ketua kerajaan dari banyak negara. Jika lakukan perubahan, mungkin akan ganggu persediaan itu. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pun ada beri bayangan jika ada (rombakan), akan ambil masa selepas APEC,” katanya, selepas merasmikan Karnival Pendidikan, Kerjaya dan Keusahawanan Parlimen Jerlun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Jerlun hari ini.

Menteri Besar Kedah itu turut menolak desas-desus kemungkinan rombakan Kabinet akan dilakukan pada Mac depan.

“Memang ada yang cadangkan sebelum persidangan APEC, namun saya ingat ia hanya akan timbulkan keadaan ketidaktentuan kerana menteri baru kena belajar juga di kementerian baharu,” katanya.

Selain itu, Mukhriz mempertahankan kewibawaan barisan Kabinet selain menegaskan anggota Kabinet memerlukan lebih masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baharu sebagai pemerintah, kerana sebelum ini bergelar pembangkang.

“Saya ingat tak ada dasar yang dikatakan tidak masuk akal. Bukan senang untuk individu terajui organisasi seperti Kementerian, untuk dapatkan pengalaman dan biasakan diri dengan selok belok pentadbiran dan pengurusan dalam meningkatkan tahap efektifnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mukhriz turut simpati kepada menteri dan timbalan menteri PH yang tiada pengalaman mentadbir susulan tempoh setahun lapan bulan itu belum mencukupi untuk dinilai prestasi masing-masing.

“Kita harus beri ruang kepada menteri timba pengalaman dan belajar daripada pegawai dalam membuat keputusan dasar yang menepati kehendak rakyat. Bagi saya, setahun lapan bulan sangat singkat, mereka perlu diberikan lebih masa,” katanya.

Menurutnya, pengalaman itu penting agar barisan Kabinet dapat memahami keperluan rakyat dari masa ke semasa untuk merangka dasar yang menepati kehendak rakyat.

“Saya akui turut berdepan situasi sama ketika menjadi menteri besar kali kedua, banyak benda saya lebih memahami berbanding kali pertama. Pengalaman itu penting, mungkin ada keputusan kurang tepat dibuat apabila kita kurang pengalaman,” katanya.

Mukhriz turut berpuas hati dengan prestasi menteri dan timbalan menteri dari Bersatu, walaupun ada desakan dua menterinya disenaraikan untuk ditukar.

“Setakat ini, saya puas hati dengan prestasi mereka, malah kami saling membantu dan berbincang serta berkongsi pandangan untuk tingkatkan prestasi kerja,” katanya.