'Henti jadikan primat haiwan peliharaan'

Mariani Ramli yang kesal dengan sikap masyarakat yang semakin gemar menjadikan spesies primat sebagai haiwan peliharaan.
Mariani Ramli yang kesal dengan sikap masyarakat yang semakin gemar menjadikan spesies primat sebagai haiwan peliharaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - “Kegembiraan bagi anda adalah penderitaan bagi mereka,” demikian luahan Presiden Persatuan Perlindungan Ungka Malaysia (GPSM), Mariani Ramli yang kesal dengan sikap masyarakat yang semakin gemar menjadikan spesies primat sebagai haiwan peliharaan.

Mariani berkata, masyarakat Malaysia masih kurang menyedari bahawa primat termasuk ungka mempunyai nilai estetika yang tinggi di hutan.

“Mengambil sebagai haiwan peliharaan akan merosakkan habitat liar. Contohnya, ungka sebenarnya memainkan peranan penting di hutan kerana terdapat beberapa spesies pokok yang hanya haiwan ini sahaja boleh membiakkannya.

“Bagi sesiapa yang suka membela ungka secara haram, di sebalik kejadian haiwan itu di rumah anda, seluruh ahli keluarganya akan dibunuh untuk dapatkan satu bayi dan ia akan menyebabkan spesies tersebut hampir pupus,” katanya ketika ditemui di pameran foto Project Monyet di sini baru-baru ini.

Mariani ialah pemenang anugerah berprestij, The Edge Inspiring Young Leaders Awards (TEIYLA) 2019 dan bergiat aktif dalam menentang pemerdagangan haiwan eksotik secara haram di Malaysia.

Mariani (kanan) sewaktu pameran foto Projek Monyet di Kuala Lumpur baru-baru ini. - Foto Ihsan Facebook GPSM
Mariani (kanan) sewaktu pameran foto Projek Monyet di Kuala Lumpur baru-baru ini. - Foto Ihsan Facebook GPSM

Bagi menangani masalah itu, beliau berharap masyarakat diberi pendedahan dan pendidikan lebih mendalam mengenai spesies primat.

“Primat di Malaysia masih kurang diketahui dan diberi pendedahan di mana ungka atau dikenali sebagai ‘raja bergayut’ merupakan mawas yang terpantas di dunia dan boleh menyanyi.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, pelajar dan orang awam juga digalakkan untuk belajar tentang hidupan liar daripada mana-mana pihak atau organisasi yang bertanggungjawab agar kejadian seperti badak sumatera dan harimau tidak berlaku di mana mereka diancam kepupusan,” katanya.

Mariani yang aktif dengan kempen stop the demand to stop the threat di institusi pengajian tinggi sejak tahun 2013 itu turut mencadangkan langkah membendung pemburuan spesies primat secara haram bagi memelihara habitatnya yang semakin terancam.

“Langkah yang paling mudah adalah kesedaran di media sosial di mana orang awam boleh membuat aduan jika terdapat aktiviti menjual atau memiliki haiwan liar secara haram kepada kami atau terus melalui Jabatan Perhilitan,” tambahnya.

Tambahnya, aktiviti penebangan hutan juga harus dielakkan dan setiap cadangan pembangunan harus diteliti sebaiknya untuk melihat sama ada pembangunan yang dirancang akan memberi kesan drastik kepada hidupan liar dan habitatnya.

Program Project Monyet yang diadakan bermula 16 hingga 28 November ini ialah satu dokumentasi bergambar memaparkan 14 daripada 25 spesies primat di Malaysia.

Malaysia merupakan antara lima negara dunia yang menjadi rumah bagi lima keluarga primat iaitu kera, kongkang, lotong, monyet Belanda dan orang utan. - Bernama