Saya puas hati prestasi menteri, timbalan menteri: Mukhriz

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Pengetua SMK Agama Jerlun Ustazah Napishah Salleh (kanan) pada Majlis Perasmian Karnival Pendidikan, Kerjaya dan Keusahawan Parlimen Jerlun hari ini. - Foto Bernama
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Pengetua SMK Agama Jerlun Ustazah Napishah Salleh (kanan) pada Majlis Perasmian Karnival Pendidikan, Kerjaya dan Keusahawan Parlimen Jerlun hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JERLUN - Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan menteri atau timbalan menteri dari parti itu dalam melaksanakan tugas mereka.

Bagaimanapun beliau mengakui ahli Kabinet memerlukan lebih masa untuk menyesuaikan diri namun dia bersama menteri dan timbalan menteri dari parti itu sentiasa berkongsi pandangan sekiranya terdapat perkara berbangkit yang perlu diselesaikan.

"Bukan senang untuk seseorang terajui sebuah kementerian kerana mereka perlu tahu selok-beloknya dahulu. Jadi, tempoh setahun lapan bulan ini sangat singkat dan saya bersimpati dengan menteri dan timbalan menteri sekarang kerana sebelum ini mereka bergelar pembangkang.

"Bagi membantu meningkatkan tahap efektif, mereka perlu diberi ruang dan peluang untuk belajar dengan pegawai yang ada bagi membolehkan mereka membuat keputusan yang tepat untuk rakyat," katanya.

Mukhriz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan beberapa penganalisis politik bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu segera melakukan rombakan Kabinet bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu beliau berkata, sekiranya rombakan Kabinet dibuat dalam masa terdekat ia dibimbangi boleh memberi kesan dan menjejaskan persiapan negara selaku tuan rumah Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tahun depan.

"Memang dia (Dr Mahathir) ada cakap mengenai isu rombakan Kabinet tapi itu belum sah lagi dan kalau ada pun akan makan masa dan tunggu habis APEC. Tahun hadapan kita banyak kerja kerana jadi tuan rumah, jadi kalau buat perubahan boleh mengganggu persediaan untuk APEC," katanya.

Terdahulu, beliau yang juga Menteri Besar Kedah telah merasmikan Karnival Pendidikan, Kerjaya dan Keusahawanan 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Jerlun yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah, Dr Salmee Said.

Artikel Berkaitan:

Pada karnival itu, Mukhriz turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM300 setiap seorang kepada 390 pelajar yang layak memasuki Institut Pengajian Tinggi (IPT).

"Karnival ini diharap dapat melahirkan anak muda yang mempunyai jati diri kuat selain mampu bersaing dalam semua bidang. Kita juga berharap graduan mampu mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian dan tidak mahu mereka menganggur terlalu lama," katanya. - Bernama