Sabah bubar hutan simpan untuk warta 90 kampung

Gambar hiasan- fotoBERNAMA
Gambar hiasan- fotoBERNAMA
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Konservator Hutan, Datuk Mashor Mohd Jaini menyifatkan langkah pembubaran seluas 1,637 hektar kawasan hutan simpan oleh kerajaan negeri untuk tujuan pewartaan 90 kampung sebagai satu lakaran sejarah dalam pengurusan hutan di Sabah.

Mashor yang memuji langkah kerajaan Sabah itu berkata, ia bukan sahaja memberi kelegaan kepada lebih kurang 20,000 penduduk yang telah mendiami kawasan hutan simpan sejak sekian lama, tetapi akan turut mengurangkan beban konflik antara penduduk kampung berkenaan dengan kerajaan.

Justeru, Mashor menasihatkan penduduk kampung terlibat supaya patuh kepada ketetapan keluasan dikeluarkan dari hutan simpan serta tidak memperbesarkan lagi keluasan perkampungan bagi mengelak konflik baharu selain perlu menghargai keprihatinan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan hidup mereka.

“Rakyat diingatkan agar tidak mengambil kesempatan dengan menubuhkan kampung-kampung baharu dalam kawasan hutan simpan. Kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Sabah tidak akan berkompromi dengan pihak yang boleh dianggap sebagai mencari kesempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini meluluskan seluas lebih kurang 1,637 hektar kawasan hutan simpan untuk perkampungan yang telah sekian lama didiami penduduk rakyat tempatan dan kawasan itu melibatkan 90 kampung dengan terdapat 3,800 rumah dengan lebih kurang 20,000 penduduk.

Pembubaran seluas 1,637 hektar ini hanya melibatkan 0.05 peratus daripada jumlah keluasan hutan simpan di Sabah iaitu 3.54 juta hektar sekali gus tidak menunjukkan perubahan signifikan ke atas jumlah keluasan hutan simpan seluruh negeri.

Sidang DUN Sabah turut meluluskan seluas 2,154 hektar kawasan tanah kerajaan untuk diwartakan sebagai hutan simpan dan proses pembubaran serta pewartaan ini akan mengakibatkan peningkatan jumlah keluasan hutan simpan sebanyak 0.015 peratus, daripada 3,540,748.874 hektar kepada 3,541,265.683 hektar.

Mashor berkata, proses pembubaran dan pewartaan hutan simpan hendaklah dilaksanakan serentak selaras dengan Dasar Hutan Sabah 2018 yang menetapkan setiap pembubaran kawasan hutan simpan hendaklah diganti dengan keluasan sama atau lebih.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata dasar itu perlu dilaksanakan bagi memenuhi ikrar kerajaan negeri untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah keluasan keseluruhan Sabah sebagai kawasan dilitupi hutan selain menjelang tahun 2025 kerajaan negeri turut mensasarkan 30 peratus daripada jumlah keluasan Sabah sebagai Kawasan Dilindungi Sepenuhnya.

“Ikrar dan sasaran ini bertujuan memastikan Sabah mempunyai kawasan mencukupi untuk berfungsi sebagai kawasan tadahan air, habitat flora dan fauna serta perkhidmatan persekitaran,” jelasnya.

Dalam pada itu Mashor turut mengakui masih terdapat beberapa kampung tidak tersenarai dalam proses pembubaran hutan simpan pada kali ini, namun Jabatan Perhutanan Sabah akan menjalankan kajian terperinci ke atas kampung terbabit dan kajian berkenaan akan mengambil kira kepentingan kawasan tersebut untuk tujuan konservasi berbanding dengan perkampungan.

Hasil kajian akan dikemukakan kepada jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Sabah Datuk Safar Untong untuk tindakan selanjutnya. - Bernama