Tebuk pokok curi sarang kelulut

Kakitangan MDB menebang pokok yang ditebuk pencuri sarang kelulut demi keselamatan orang ramai.
Kakitangan MDB menebang pokok yang ditebuk pencuri sarang kelulut demi keselamatan orang ramai.
A
A
A
JERTIH - Permintaan tinggi dan harga mahal terhadap sarang kelulut menyebabkan ada individu sanggup mencuri sarang tersebut dari sebatang pokok teduhan di bandar Jertih awal pagi kelmarin.

Setiausaha Majlis Daerah Besut, Siti Mariam Hamid berkata, pihaknya memandang serius kes menebuk kayu pada sebatang pokok dari spesies angsena untuk mengambil sarang kelulut berdekatan stesen kereta sewa Jertih itu.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat pagi semalam mengenai sebatang pokok yang telah ditebuk di bahagiannya tengahnya yang terletak di tepi jalan utama.

"Perbuatan tersebut dipercayai dilakukan oleh lebih daripada seorang dikatakan bermula tengah malam hingga awal pagi.

"Mereka memotong bahagian sarang tersebut untuk mengambil bongkah yang menjadi sarang kelulut yang mendapat permintaan tinggi di pasaran sekarang,” katanya. Siti Mariam berkata, beliau difahamkan individu tersebut mengguna perancah besi yang diambil di tapak pembinaan berhampiran untuk memotong pokok yang setinggi kira-kira lima meter dari paras tanah itu.

Menurutnya, pihaknya terpaksa mengambil keputusan menebang pokok tersebut sudah membahayakan orang ramai memandangkan separuh bahagian batang telah dipotong selain keadaan pokok itu yang condong.

"Pokok tersebut dianggarkan berusia 35 tahun dan merupakan pokok teduhan dan menghijaukan bandar Jertih.

"Perbuatan menebang pokok milik MDB tanpa kebenaran merupakan satu kesalahan dan pihaknya akan mengambil tindakan tegas bagi membendung kejadian seperti ini tidak berulang,” katanya.

Sementera itu Sinar Harian difahamkan harga pasaran semasa sebongkah sarang kelulut ialah antara RM500 hingga mencapai RM2,000 bergantung kepada spesiesnya.
Artikel Berkaitan: