Polis tidak kompromi siasatan pelajar 'ganas'

Hasanuddin menyampaikan sijil penyertaan kepada mereka yang menjayakan Larian Oren 'Gojes Orange Fun' di sini hari ini.
Hasanuddin menyampaikan sijil penyertaan kepada mereka yang menjayakan Larian Oren 'Gojes Orange Fun' di sini hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis tidak akan berkompromi dan tetap melakukan siasatan mengikut undang-undang terhadap mana-mana pelajar yang didapati terlibat kes keganasan pelajar.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya memandang serius beberapa kes membabitkan keganasan pelajar beberapa hari lalu sebagaimana tular di media sosial.

"Dalam kes melibatkan jenayah pelajar, polis tetap akan melakukan siasatan mengikut undang-undang meskipun tanpa kebenaran daripada pihak sekolah. Lagipun kejadian itu sudah tular.

"Kami tengok dari sudut jenayah, kalau melakukan kesalahan yang boleh didakwa pada undang-undang yang ada kita akan ambil tindakan.

“Kita tidak pilih bulu dan tak akan berkompromi dengan perkara yang menyalahi undang-undang. Semuanya polis akan siasat dan ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pada Larian Oren 'Gojes Orange Fun' di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Kelantan, Tia Ifzan Idrus.

Hasanuddin berkata, menyentuh mengenai salah laku pelajar, pihaknya turut akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Kelantan dalam masa terdekat untuk mengelak kes sebegini berterusan.

Menurutnya, berdasarkan statistik sepanjang tahun ini sebanyak 15 kes pergaduhan di sekolah direkodkan membabitkan 36 tangkapan.

Artikel Berkaitan:

“Ada kes yang kita siasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan membabitkan kecederaan pada mangsa selain Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat harta awam.

“Pada saya ia tidak sepatutnya berlaku sebab mereka ini masih lagi belajar. Tak perlu nak tunjukkan kita ini agresif dan sebagainya. Bagi saya, kalau kita tengok pada video yang tular itu, ia agak serius.

“Apatah lagi kanak-kanak sekolah sepatutnya tak perlulah buat perkara yang boleh mendatangkan mudarat, bukan sahaja pihak sekolah bahkan diri sendiri sebagai pelaku,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pelajar negeri ini supaya tidak berlumba-lumba menunjukkan perangai 'gedebe' ataupun ganas kerana ia akan memudaratkan diri sendiri.

Khamis lalu tular video seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah agama di Pasir Puteh dibuli rakan yang dikatakan sering disuruhnya menyiapkan kerja sekolah.

Kejadian terbaharu berlaku semalam pula, tular satu video melibatkan empat pelajar sebuah sekolah agama dari Kota Bharu merosakkan kerusi di dalam kelas mereka dikatakan dibuat pada hari akhir persekolahan.