X

Kindly register in order to view this article
!

Pencen bukan penghalang warga emas tunai hasrat 'tertangguh'

Dr Norimah yang ditemui di kediamannya di sini baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A

SEREMBAN - Hasrat untuk menggenggam segulung Ijazah Kedoktoran (PhD) yang tertangguh sejak 35 tahun lepas, akhirnya berjaya ditunaikan seorang warga emas yang memanfaatkan masa bersaranya.

Dr Norimah Md Dali, 67, berkata, beliau mula memasang angan-angan selepas menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang pada 1978, namun terpaksa melupakan impiannya seketika berikutan kesibukan tugas di Jabatan Perancangan Bandar dan Desa di Putrajaya.

“Saya sebenarnya dari 1984 lagi ingin menyambung pelajaran. Masa itu saya dapat tempat menyambung pelajaran di University of Oxford di United Kingdom tapi saya tidak ditawarkan biasiswa menyebabkan ia terbantut, maka saya terus bekerja dan tidak sempat untuk menyambung belajar.

“Sehinggalah saya bersara pada 20 Mei 2008 selepas 30 tahun bekerja. Minat untuk menyambung kembali pelajaran di peringkat PhD kembali meluap-luap dan saya memikirkan untuk mengisi masa pencen saya dengan mengambil PhD,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Seremban di sini.

Hari ini, ibu kepada empat orang anak itu menyambung pengajian dalam Ijazah Kedoktoran Pembinaan Persekitaran dan menerima PhD di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak, Selangor pada 2013 selepas berjaya menghasilkan tesis bertajuk ‘An Evaluation Model Using The Maqasid Al-Shariah Framework Towards Liveable City’.

Dr Norimah bersama keluarganya. - Foto Bernama
Dr Norimah bersama keluarganya. - Foto Bernama

Mesra disapa dengan panggilan Dr Aunty, bekas timbalan pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor itu berkata, meskipun berhadapan cabaran terutamanya daripada kalangan pelajar yang lebih muda selain kekurangan mahir penggunaan internet dan komputer, namun ia tidak mematikan impian untuk memburu ‘emas’ dalam hidupnya.

“Walaupun mungkin lambat sikit daripada orang muda, tetapi pengalaman, penghayatan dan pemahaman saya lebih matang daripada mereka yang baru belajar. Setahun pertama, saya agak ketinggalan kerana kurang faham, namun alhamdulillah, berkat keazaman dan usaha, akhirnya saya dapat faham dengan baik.

“Mengenai cabaran, ia datang daripada diri sendiri dan pengalaman yang ada, jika tak manfaatkan saya rasa rugi. Saya fikir walaupun dah pencen, saya boleh buat dan itulah saya nak buktikan pada diri,” kata nenek kepada lima cucu itu.

Anak kelahiran Tangkak, Johor itu juga menjadikan kejayaan yang diperolehnya itu untuk membantu semula masyarakat dengan bergiat aktif bersama tiga badan bukan kerajaan iaitu Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Malaysian Nature Society (MNS) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

“Saya berharap, anak muda dan mereka yang bersara namun mencintai ilmu, bolehlah memikirkan untuk menyambung pelajaran kerana kita tidak boleh berhenti belajar sehingga kita meninggal dunia,” katanya yang pernah menerima anugerah Tokoh Pengguna Pahang pada 1986.

Dr Norimah menceritakan kisahnya yang berjaya menggenggam segulung Ijazah Kedoktoran (PhD) yang tertangguh sejak 35 tahun lalu. - Foto Bernama
Dr Norimah menceritakan kisahnya yang berjaya menggenggam segulung Ijazah Kedoktoran (PhD) yang tertangguh sejak 35 tahun lalu. - Foto Bernama

Norimah yang memiliki pengalaman luas sebelum ini pernah bertugas di jabatan yang sama selama 10 tahun di Kuantan, Pahang dari 1978 hingga 1989 sebelum dinaikkan pangkat menjadi Pengarah Bahagian Perancangan Bandar Majlis Perbandaran Seremban (1990-1991).

Beliau turut pernah menjawat jawatan Penolong Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Pahang (1991-2004), Pengarah Bahagian Pembasmian Kemiskinan Putrajaya (2004-2006), Timbalan Pengarah Perancangan Bandar dan Desa Negeri Sembilan (2006-2007) dan Penolong Pengarah Perancangan Bandar dan Desa Selangor (2008). - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus