Urby terima pingat, berjaya jumpa mayat mangsa bunuh

Koperal Umbat mengalungkan pingat kepada K9 kendaliannya yang bernama Urby. - Foto Ihsan PDRM
Koperal Umbat mengalungkan pingat kepada K9 kendaliannya yang bernama Urby. - Foto Ihsan PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seekor anjing pengesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bernama Urby menerima pingat atas kejayaannya bersama pengendali, Koperal Umbat Anak Selan dari Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA dalam menyelesaikan satu kes jenayah di Banting, Selangor pada Oktober lalu.

Kepintaran anjing berusia 12 tahun daripada baka Jerman Shepard itu terserlah apabila ia berjaya menemukan mayat seorang warga Bangladesh di sebuah kawasan semak selepas mangsa dilaporkan hilang.

Dalam laporan Sinar Harian sebelum ini, seorang pengusaha kebun sayur warga Bangladesh, 35, ditemui mati berhampiran kolam di kebun sayurnya di Jalan Tali Air, Dusun Durian pada 10 Oktober lalu.

Kejadian itu disedari tunang mangsa yang juga warga tempatan selepas gagal menghubungi mangsa sebelum bergegas ke tempat kerja mangsa di lokasi kejadian kira-kira jam 8.30 pagi.

Pemeriksaan lanjut oleh unit anjing pengesan (K9) kemudian berjaya menemui mayat mangsa dalam keadaan terbaring di tepi semak kira-kira 100 meter dari kolam.

Susulan itu, kira-kira jam 5 petang, tiga lelaki tempatan berusia 29 hingga 34 tahun telah ditahan di sekitar Banting.

Menurut laman sosial Facebook PDRM, penyampaian surat penghargaan dan pingat kepada Koperal Umbat dan Urby telah berlangsung dalam Majlis Perasmian Penutupan Kursus Asas Pemegang K9 Siri 1/2019 anjuran Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak di sini semalam.

Kursus yang bermula dari 12 Ogos hingga 23 November 2019 itu melibatkan 43 anggota JSJ dari 21 seksyen K9 seluruh negara dalam mempersiapkan mereka dengan ilmu pengetahuan asas pengendalian anjing, khususnya melibatkan tugas kepolisan di samping memupuk nilai-nilai peribadi yang baik sebagai pengendali K9.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) JSJ, Datuk Salehhudin Abd Rahman ketika berucap mewakili Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menzahirkan rasa bangga atas kejayaan semua peserta yang berjaya menamatkan kursus tersebut.

“Kejayaan para peserta menamatkan kursus ini dengan cemerlang, jelas membuktikan bahawa tiada perkara yang mustahil untuk dikecapi, sekiranya dilakukan dengan kesungguhan dan kesabaran yang tinggi,” katanya.

Menurutnya, K9 telah memainkan peranan penting sebagai elemen bantuan dalam tugasan serta operasi jabatan-jabatan PDRM, malah menjadi penyumbang kepada penyelesaian kes-kes jenayah berprofil tinggi sejak ditubuhkan pada 1968.

Turut hadir Komandan Pulapol KL, Datuk Shamsudin Mat dan pegawai kanan PDRM.