Formula kejayaan luar biasa

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SETIAP pelajar sememangnya menginginkan kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran mereka.

Oleh yang demikian, ramai dalam kalangan pelajar sanggup berbuat apa sahaja untuk memastikan kejayaan menjadi milik mereka. Sebagai contoh, pelajar yang berada di Tingkatan Enam akan menjadikan keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai indikator kejayaan dan bagi mereka yang berada di Tingkatan Lima, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula menjadi penilai prestasi pencapaian akademik masing-masing.

Walaupun terdapat pelbagai formula yang diguna pakai oleh pelajar untuk mencapai kejayaan akademik masing-masing, namun formula yang ingin dikongsikan kali ini amat luar biasa keberkesanannya.

Formula ini telah diguna pakai oleh beberapa individu yang cemerlang di dalam dan di luar negara tanpa mengira siapa mereka sama ada sebagai seorang pelajar, ahli sukan, politik ataupun ahli perniagaan. Tiga formula yang dimaksudkan ialah seperti berikut:

Satu, belajar ialah suatu pertandingan. Setiap pelajar perlu menerima hakikat bahawa kehidupan mereka sebagai seorang pelajar merupakan suatu pertandingan dan persaingan. Mereka yang berjaya dalam persaingan tersebut akan dinobatkan sebagai cemerlang dan akan diberikan beberapa penghargaan dan pengiktirafan.

Komponen utama yang digunakan dalam pertandingan dan persaingan tersebut ialah keputusan peperiksaan sama ada PT3, SPM, STPM ataupun PNGK apabila mereka sudah berada di universiti.

Pelajar akan dinilai dan dikategorikan berdasarkan kepada keputusan yang diperoleh daripada setiap peperiksaan yang diambil berdasarkan peringkat atau di mana mereka berada.

Pelajar Tingkatan Enam akan dinilai berdasarkan keputusan STPM dan mereka yang berada di Tingkatan Lima dinilai berdasarkan kepada keputusan SPM dan begitulah seterusnya.

Artikel Berkaitan:

Untuk membolehkan mereka muncul cemerlang, pelajar yang terlibat perlulah berusaha dengan sebaik mungkin agar berjaya muncul cemerlang dalam persaingan dan pertandingan tersebut.

Bagi memastikan kecemerlangan tersebut menjadi milik mereka, pelajar perlu melakukan pelbagai kaedah berterusan untuk mencapai kejayaan seperti memperuntukkan masa yang cukup untuk mengulangkaji pelajar, berbincang dengan guru dan sebagainya.

Kedua, persekitaran yang positif. Pelajar juga perlu menyediakan dan memiliki persekitaran yang positif untuk tujuan kecemerlangan. Di antara persekitaran yang positif ialah rakan sebaya yang bermotivasi, tempat belajar yang menarik dan suasana tempat tinggal yang kondusif.

Suasana positif mampu memberikan semangat dan suntikan motivasi untuk mencapai kecemerlangan. Formula itulah yang diguna pakai oleh Sekolah Berasrama Penuh di Malaysia. Dengan adanya suasana yang kondusif dan positif, ia secara tidak langsung menarik individu yang berada di dalam persekitaran tersebut untuk sama-sama mencapai kecemerlangan.

Teori Sosial

Kenyataan dan senario itu amat bertepatan dengan Teori Sosial. Mengikut teori itu, sekiranya individu didedahkan kepada senario positif dan cemerlang dalam jangka masa tiga hingga enam bulan sikap dan tingkah lakunya akan terikut dengan suasana atau keadaan persekitaran yang didedahkan kepada mereka.

Berdasarkan teori itu, pelajar yang ingin berjaya perlu mendedahkan diri dengan persekitaran yang positif dan cemerlang dalam setiap aktiviti seharian mereka.

Ketiga pula, tidak ada jalan pintas menuju kejayaan. Pepatah Melayu ada menyatakan, sebelum berlari kita perlu merangkak. Tidak ada orang di dunia ini yang mampu berlari tanpa merangkak dahulu.

Setiap pelajar juga perlu melalui proses yang sama. Kejayaan tidak akan muncul tanpa sebarang pengorbanan. Kejayaan hanya mampu dimiliki sekiranya pelajar sanggup melalui pelbagai kesusahan dan cabaran. Tidak ada jalan singkat atau short cut untuk mencapai kejayaan tersebut.

Aktiviti yang menyeronokkan seperti bermain games, shopping, melancong ataupun bersantai dengan kawan-kawan terpaksa dikorbankan demi mencapai kecemerlangan. Senario itu disokong oleh pepatah Melayu yang menyatakan, jika ruyong tidak dipecahkan manakan dapat sagunya.

Akhir sekali, pelajar harus sedar bahawa tiada sebarang kejayaan dan kecemerlangan datang bergolek atau melayang tanpa usaha yang bersungguh-sungguh.

Pelajar yang mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran mereka ialah yang sentiasa fokus dan komited terhadap tugas dan tanggungjawab sebagai pelajar.

Pelajar disaran mengaplikasikan tiga formula di atas untuk mencapai kecemerlangan akademik yang luar biasa. Semoga pelajar semua terus cemerlang pada masa akan datang.

* Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran ialah Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Pakar Sosiologi