Persembahan gagal tarik perhatian, OnxOn tersingkir daripada MLM2019

OnxOn menamatkan persaingan di MLM2019 - FOTO: Astro
OnxOn menamatkan persaingan di MLM2019 - FOTO: Astro
A
A
A
KUMPULAN OnxOn gagal meneruskan persaingan ke minggu seterusnya apabila menjadi peserta keempat yang diumumkan tersingkir daripada program Maharaja Lawak Mega 2019 (MLM2019) yang bersiaran langsung dari Royal Theatre Shah Alam, sebentar tadi.

Juri tetap, Najib Ali menyifatkan persembahan OnxOn yang dianggotai oleh Azrul Zaidi, Gbob dan Che Mat gagal menarik perhatian kerana masih belum berjaya memberi rasa dan menunjukkan kekuatan mereka dalam persembahan komedi yang ditampilkan pada pentas MLM2019.

Selain OnxOn, tiga lagi peserta yang berada pada kedudukan terendah untuk minggu yang mengetengahkan tema cinta ialah Puteh, Jambus dan Rojak.

Sementara itu, kumpulan Smart sekali lagi diumumkan sebagai pemenang Oppo Punchline Machine menerusi undian penonton, manakala Flamintoz Kumpulan Paling Syok pula menjadi milik kumpulan Jborn yang berjaya menarik perhatian barisan juri menerusi markah tertinggi yang diperoleh.

Persaingan pada minggu depan akan diteruskan oleh kumpulan J-Born, Bocey, Zero, Smart, Rare, Stone, Rahmet, Jambus, Puteh dan Rojak.

Selain Najib Ali, kesemua peserta turut diadili juri tetap yang terdiri daripada Inul Daratista, Lisa Surihani dan Datuk Jamal Abdillah.

Program yang dihoskan oleh Datuk AC Mizal itu menggabungkan pelawak daripada Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei, bersama-sama berentap untuk merebut gelaran Juara dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500,000.

MLM2019 disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Warna (132) dan Warna HD (124) pada setiap Jumaat bermula 1 November lalu.

Artikel Berkaitan: