Kematian akibat merokok membimbangkan, kata Dr Dzulkefly

Dr Dzulkefly (tiga dari kiri) beramah mesra bersama penerima Anugerah dan Pengiktirafan kempen Blue Ribbon 2019 malam ini. - Foto Bernama
Dr Dzulkefly (tiga dari kiri) beramah mesra bersama penerima Anugerah dan Pengiktirafan kempen Blue Ribbon 2019 malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jumlah kematian yang tinggi dalam kalangan individu dari kumpulan yang masih produktif sebagai pekerja akibat rokok adalah membimbangkan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Memetik laporan tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), beliau berkata, rokok direkodkan sebagai penyumbang utama kematian dengan 20,000 kematian setiap tahun.

Katanya, kajian itu juga menunjukkan 22.8 peratus atau lima juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun dan ke atas adalah perokok dengan mereka yang berumur 20 hingga 54 tahun adalah perokok tertinggi, majoritinya lelaki.

"Golongan ini merupakan kumpulan yang masih produktif sebagai pekerja yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Sudah tentu kehilangan produktiviti akibat masalah kesihatan termasuk yang diakibatkan penggunaan hasil tembakau, mendatangkan kebimbangan kepada kerajaan," katanya ketika berucap pada majlis Anugerah dan Pengiktirafan Kempen Riben Biru 2019 di sini hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, tabiat merokok juga merupakan faktor utama kepada risiko berlaku penyakit jantung dan saluran pulmonari yang menyumbang kepada 15.7 peratus daripada 20,000 kematian yang direkodkan.

Katanya, lebih membimbangkan apabila satu pertiga atau 2.8 juta penduduk negara ini yang merupakan perokok pasif, juga mengalami kesan kesihatan yang negatif seperti perokok aktif.

Dr Dzulkefly berkata, pelaksanaan Kempen Riben Biru menjadi inisiatif terbaik, ke arah mengurangkan amalan merokok sekali gus menjadi pendokong kepada usaha kerajaan, dalam mewartakan tempat awam sebagai kawasan larangan merokok.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pewartaan larangan merokok di semua premis makanan berkuat kuasa Januari tahun depan juga diasaskan daripada program riben biru, yang dimulakan 117 premis makan awam yang secara sukarela, melarang aktiviti merokok di kedai masing-masing demi menjaga kepentingan pelanggan yang tidak merokok.

"Ini menunjukkan sokongan padu pengusaha kedai makan dalam menjaga kesihatan rakyat Malaysia walaupun pada ketika itu tempat makan terbuka masih belum diwartakan," katanya.

Pada majlis itu, sebanyak 181 premis dan komuniti menerima pengiktirafan premis bebas asap rokok dalam tiga kategori iaitu Anugerah Blue Ribbon Beyond melibatkan tujuh premis awam, Anugerah Blue Ribbon (154) dan Anugerah Blue Ribbon Komuniti (20).

Diperkenal sejak 2013, Kempen Riben Biru merupakan satu program advokasi inisiatif Kempen Malaysia Bebas Asap Rokok, bertujuan mengiktiraf individu, organisasi serta komuniti yang telah memberikan sumbangan bermakna untuk melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok. - Bernama