Orang bertoksik perlu dijauhi

A
A
A

SETIAP yang beracun mesti dijauhi walaupun sedikit. Sifat toksik itu amat membahayakan kerana boleh memudaratkan diri sendiri sama ada secara cepat atau perlahan-lahan.

Justeru, kita dilarang sama sekali menyentuh dan mendekati toksik tersebut.

Secara umumnya, sifat toksik itu ada pada manusia namun ia lebih membahayakan.

Apa tidaknya, kita tidak tahu mereka bertoksik setelah kita terkena toksiknya. Pun begitu, toksik yang terkena pada kita bukanlah menjalar ke dalam saluran darah sehingga menjejaskan jantung dan otak, namun boleh menggoreskan hati dan perasaan sehingga melemahkan otak menjadi tidak rasional, murung serta tidak bersemangat untuk hidup.

Sebetulnya, sepanjang kehidupan kita akan menjumpai dua jenis manusia iaitu yang membina dan merosakkan.

Individu yang merosakkan begitu suka mengkritik kejayaan orang lain dan bukannya membina kejayaan atas pencapaian diri sendiri.

Justeru, kita perlu berhati-hati memilih kawan. Terdapat banyak kajian konsisten membuktikan bahawa sokongan daripada rakan-rakan dan orang-orang yang terdekat boleh meningkatkan ketahanan diri kita.

Ingatlah, individu yang pernah mengkhianati orang lain, lambat-laun akan mengkhianati kita pula jika kita berterusan mendekati mereka.

Artikel Berkaitan:

Sejujurnya, kita perlu ada kemahiran untuk mengenali dan menjauhi orang yang bertoksik.

Hakikatnya, orang yang bertoksik bukannya membawa kegembiraan tetapi kesengsaraan kepada orang lain. Adalah lumrah, orang yang bertoksik sudah begitu tepu untuk berubah.

Apa sahaja yang melibatkan diri mereka sama ada dalam perniagaan, perkahwinan, hubungan kekeluargaan dan tempat kerja akan menjadi tidak harmoni dengan penglibatannya.

Pun begitu, individu berkenaan sedikit pun tidak menyedari bahawa dirinya ialah bertoksik dan memudaratkan orang lain.

Secara umumnya, terdapat empat jenis orang bertoksik iaitu narsistik atau bangga diri. Pendek kata, mereka sentiasa betul dan sangat berkepentingan diri. Selain itu, suka membuli orang lain dengan kata-kata yang begitu sinis.

Golongan itu hanya mematuhi peraturan yang tidak bercanggah dengan kepentingan diri mereka sahaja. Jika sebaliknya, mereka akan melanggar setiap peraturan tanpa berasa bersalah.

Kebiasaannya, individu yang mempunyai harga diri yang rendah serta lemah karakter akan menjadi ‘mangsa’ kepada golongan yang bertoksik.

Golongan kedua, dikenali sebagai frenemy iaitu orang yang nampak seperti kawan, namun rupanya tidak.

Golongan itu cukup ramai di muka bumi ini. Mereka hanya menolong kita jika ada kepentingan untuk mereka sahaja.

Sikap kelompok itu begitu ketara setelah melihat kejayaan kita melebihi kejayaan mereka dan boleh memberi ancaman kepada mereka.

Pada bila-bila masa sahaja mereka boleh mensabotaj kita dengan menikam dari belakang.

Golongan ketiga ialah individu yang begitu kritikal menghentam kita secara negatif. Kononnya untuk menyatakan rungutan, namun cukup negatif dan menyakitkan hati. Semakin lama kita berada di samping mereka, semakin letih jadinya.

Bagi golongan keempat pula, mereka terdiri daripada kelompok yang suka bergaya dengan pakaian yang cantik-cantik serta barangan perhiasan yang cukup hebat, namun suka memperlekehkan orang lain yang tidak mencapai standard berpakaian seperti mereka.

Pada hemat saya, soal ketenangan dalam hidup bukannya perkara main-main, namun perlu dikendalikan secara serius.

Oleh itu, kita berhak menjauhi individu yang boleh mendatangkan toksik kepada kita. Apa yang nyata, kita perlu mencari kawan sejati yang tiada tarikh luput. Kita perlu bina hubungan yang mempercayai satu sama lain dan berpegang teguh kepada ikatan kejujuran.

Ketepikan kawan-kawan yang hanya pandai mendesak dan membuli kita. Jangan takut untuk menjarakkan diri kita dengan mereka. Kita bukannya bergaduh dan berdendam dengan diri mereka, cuma tidak mendekatkan diri dengan mereka sahaja untuk mengelak terkena toksik.

Hakikatnya, jika kita sendiri yang bertoksik dan terkena pula toksik daripada orang lain, kita bukan sahaja menjadi tidak tenteram namun boleh menjadi sasau akhirnya. Hanya dengan bersikap positif dan rasional, akan menghilangkan toksik dalam minda dan hati.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis