Mahathir ke Terengganu esok

Mahathir Mohamad
Mahathir Mohamad
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual mengadakan pertemuan dengan golongan penternak dan nelayan di Marang, Terengganu dalam lawatannya ke negeri ini, esok.

Majlis ramah mesra bersama golongan berkenaan yang dijadual berlangsung di Dewan Majlis Daerah Marang itu adalah antara jadual lawatan kerja sehari Perdana Menteri ke Terengganu.

Lawatan kerja Perdana Menteri ke negeri ini, yang pertama selepas Pakatan Harapan menang pilihan raya umum 9 Mei lepas, dimulakan dengan perjumpaan bersama warga pendidik Terengganu di Tabung Haji (TH) Hotel & Convention Centre di Kuala Nerus.

Perdana Menteri kemudian dijadual menghadiri majlis ramah mesra dengan kanak-kanak di Taman Sinar Harapan di Bukit Besar di sini.

Taman Sinar Harapan adalah pusat jagaan orang kurang upaya berusia sehingga 14 tahun di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Ia memberi jagaan, perlindungan dan pemulihan kepada orang kurang upaya bermasalah pembelajaran yang terbiar, yatim piatu, tidak mempunyai penjaga dan memerlukan latihan pemulihan.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi Parti Bersatu, turut dijadual merasmikan ibu pejabat Bersatu Terengganu di Ladang Tok Pelam, di sini.

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam kenyataan berkata lawatan kerja Perdana Menteri itu diharap dapat mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama antara kerajaan negeri pimpinan Pas dan Kerajaan Persekutuan berpaksikan kepentingan rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Saya mewakili Kerajaan Terengganu ingin mengucapkan selamat datang kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) ke negeri Terengganu Darul Iman,” katanya. - Bernama