Penyewa layak sertai Program Pembangunan Tanah Terbiar

Mohd Soffi
Mohd Soffi
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang mengumumkan Program Pembangunan Tanah Terbiar bukan sahaja dibuka kepada pemilik tanah, malah terbuka kepada penyewa tanah termasuk usahawan atau syarikat yang berminat.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak berkata, pihak terlibat bagaimanapun perlu memiliki syarat sewa tanah perjanjian dengan pemiliknya.

Menurutnya, penyertaan tersebut diperluaskan kerana menyedari hakikat bahawa tanah kosong dan terbiar milik kerajaan berpotensi dimajukan dengan tanaman sekiranya mempunyai pengusaha yang benar-benar komited.

"Statistik tanah terbiar yang dikeluarkan Jabatan Pertanian Negeri Pahang merujuk kepada tanah hak milik yang terbiar selama tiga tahun kebanyakannya merupakan dusun atau kebun lama yang tidak diurus dan biasanya dimiliki oleh lebih daripada satu penama," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Pahang hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mustapa Long (BN-Padang Tengku) berkenaan perancangan kerajaan terhadap tanah terbiar seluas 29,390.59 hektar di seluruh Pahang tahun ini.

Mohd Soffi berkata, melalui program berkenaan, beberapa insentif disediakan dalam bentuk kemudahan infrastruktur ladang seperti pembersihan kawasan, jalan ladang, pagar kawasan, sistem pengairan dan input pertanian seperti benih dan baja dengan kadar maksimum RM20,000 per hektar.

Katanya, jenis tanaman yang disyorkan ialah tanaman kekal yang bersesuaian dengan siri tanaman dan mempunyai pasaran yang baik serta mempunyai tanah berkeluasan lebih dua hektar dalam sesebuah kampung.

Bagi petani yang ingin memajukan tanaman lain seperti sayur-sayuran, tanaman kontan, herba dan rempah ratus di tanah yang dibiar, Jabatan Pertanian Negeri Pahang juga menyediakan program pembangunan tanaman yang berkaitan bantuan yang berbeza.

Artikel Berkaitan: