'Air terjun' di Komtar

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Beberapa pejabat pentadbiran kerajaan negeri di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini terpaksa dikosongkan sementara berikutan kejadian paip bocor di tingkat 61 pagi tadi.

Kejadian tersebut menyebabkan air mengalir di laluan tangga di setiap aras bangunan setinggi 65 tingkat itu.

Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dalam satu kenyataan di sini berkata, kejadian paip bocor berpunca daripada projek penggantian komponen utama sistem kebakaran yang dilakukan sejak September lalu.

Menurut kenyataan itu, kira-kira jam 12.25 pagi tadi, seorang pekerja kontraktor secara tidak sengaja membuka penyaring tanpa menutup bekalan air terlebih dahulu sehingga menyebabkan kebocoran paip itu.

“Menyedari masalah itu, kontraktor terbabit menutup bekalan air dengan segera. Bagaimanapun, air terus mengalir ke aras yang lebih rendah,” katanya.

Kenyataan itu juga menyebut sebagai sebagai langkah berjaga-jaga, PDC menutup semua lif zon aras tinggi (lif biru) untuk kegunaan awam.

Tambahnya, insiden berkenaan bagaimanapun tidak menyebabkan gangguan bekalan air di Komtar.

“PDC sudah memberi respons kepada kejadian itu dengan serta-merta dan kejadian dapat dikawal sepenuhnya pada jam 2 petang. Semua urusan kini kembali normal,” katanya.

Artikel Berkaitan: