Seharusnya saya minta maaf pada ... : Amelina

Amelina. - Foto ASTRO & INSTAGRAM
A
A

KONTROVERSI tajaan pakaian melibatkan Amelina, pihak pengurusannya dan pereka fesyen, Razman Razmi, tercetus disebabkan salah faham.

Jelas Amelina, dia mahu menyelesaikan isu yang berbangkit selepas selesai program Gegar Vaganza musim kelima (GV5), namun kesal kerana pereka fesyen berkenaan terlebih dahulu mengeluarkan kenyataan di media sosial.

"Sepatutnya dia fikir dulu sebelum mengeluarkan kenyataan. Kalau dia sentap pasal baju, tulislah cerita pasal baju sahaja. Ini tidak, dia tulis cakap saya sendu dan menyentuh sisi peribadi saya dan pihak pengurusan.

"Jadi saya memang terguris hati dengannya. Sepanjang berada dalam industri saya tak pernah busuk hati dan buat jahat dengan orang,” jelasnya.

Tambah Amelina, jika diukur pada nilai persahabatan, dia tidak perlu memohon maaf kepada Razman Razmi, sebaliknya membuat permohonan maaf itu kepada rakan-rakannya yang merupakan pereka fesyen.

“Kami tidak mengikat sebarang kontrak, sebaliknya atas dasar kawan-kawan dan memberi peluang.

"Bagi saya, bukan saya yang perlu minta maaf pada dia. Seharusnya saya patut minta maaf pada rakan-rakan pereka lain yang satu masa dulu saya tidak dikenali, mereka sanggup buat baju untuk saya.

“Disebabkan saya nak bagi peluang kepada Razman Razmi, saya terpaksa menolak memakai baju rekaan rakan saya. Tapi bila kita dah bagi peluang, dia pula keluar kenyataan macam ini," katanya.

Sebelum ini, Razman Razmi mempersoalkan tindakan Amelina dan pihak pengurusannya yang tidak mahu menggayakan busana rekaannya minggu lalu.

Razman Razmi menaja pakaian penyanyi dangdut itu dari awal promosi sehingga minggu kelima konsert GV5 dan sudah mengeluarkan belanja sebanyak RM80,000 bagi menghasilkan busana buat penyanyi berusia 44 tahun ini.

Teruskan irama dangdut

Dalam pada itu, percubaan Amelina untuk menyertai program GV5 dan keluar dari zon selesanya mendapat pujian ramai.

Ternyata dia yang selama ini terkenal sebagai Ratu Dangdut sebenarnya mampu menyanyi lagu dengan genre berlainan.

Selepas tamat program berkenaan Ahad lalu, dan mendapat tempat keempat, Amelina berkata, dia tidak merancang untuk meninggalkan irama dangdut, namun tidak keberatan mengeluarkan sebuah single dengan genre yang berbeza.

"Kalau nak suruh tukar forte (irama) tak lah, saya dah selesa dengan dangdut dan saya rasa dah tertulis rezeki saya di situ.

"Malah saya sertai GV5 juga sebab nak tunjukkan saya boleh menyanyikan lagu lain. Malah saya sendiri puas hati apabila dapat menyanyikan lagu lain, terutamanya lagu Inggeris.

"Sebelum ini bila ada tawaran persembahan, pernah juga saya minta nyanyikan lagu berbeza tetapi penganjur tak mahu kerana bagi penganjur, kalau Amelina maka orang nak dengar lagu dangdut.

"Jadi Insya-Allah saya akan tampil dengan single baharu tidak lama lagi kerana peminat pun dah lama menunggu. Tapi single dengan genre berbeza, masih dalam perbincangan," katanya ketika ditemui selepas tamat program berkenaan.

Dalam pada itu, ditanya mengenai harapan peminat yang mahu melihat dia sebagai juara GV5, Amelina berkata dia tidak rasa bersalah kerana sudah tertulis rezekinya sebagai pemenang tempat keempat.

"Bagi saya bila masuk pertandingan, ia adalah berkenaan dengan nasib dan rezeki. Saya tak rasa bersalah tak dapat sandang gelaran juara.

"Mendengar juri memberi pujian terhadap usaha saya sudah cukup memuaskan hati," akuinya yang tidak sabar untuk kembali memenuhi undangan persembahan luar yang sudah ditolak sejak lebih dua bulan lalu.

Amelina membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM20,000 sumbangan Astro, penginapan di Royal Chulan Hotel & Resort dan trofi.