Guan Eng mahu Tuan Ibrahim mohon maaf

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng meminta Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memohon maaf terhadap dakwaan palsu dan fitnah jahat yang dilemparkan terhadap dirinya.

Menurut Guan Eng, Tuan Ibrahim telah melemparkan fitnah apabila mengatakan beliau telah gagal sebagai Menteri Kewangan berdasarkan corak belanjawan negara yang menyaksikan Pulau Pinang diperuntukkan sebanyak RM10 bilion untuk pembangunan tetapi hab halal hanya diperuntukkan RM10 juta.

"Sekiranya Tuan Ibrahim (Tuan) Man seorang yang beretika dan bermoral, beliau harus meminta maaf kerana membuat dakwaan palsu dan fitnah jahat sedemikian.

"Atau adakah pemimpin Pas berhak membuat fitnah jahat dan dakwaan palsu ke atas saya semata-mata kerana saya seorang bukan Islam yang tidak layak memegang jawatan Menteri Kewangan?" soal beliau menerusi satu kenyataan di sini semalam.

Guan Eng berkata, dakwaan Tuah Ibrahim merupakan satu kenyataan tidak berasas.

"Sekiranya disemak isi kandungan Belanjawan 2020 dengan betul, peruntukan untuk perbelanjaan pembangunan bagi Pulau Pinang ialah RM979.5 juta, bukannya RM10 bilion, manakala program dan inisiatif berkaitan industri halal berjumlah RM125.2 juta, bukannya RM10 juta," ujarnya.

Beliau berkata, Tuan Ibrahim turut mendakwa peruntukan yang diagihkan oleh Kementerian Kewangan tidak menunjukkan keseimbangan, terutamanya bagi peruntukan yang melibatkan negeri-negeri pantai timur.

"Dakwaan ini adalah fitnah jahat yang membelakangkan fakta kerana negeri-negeri di bawah pemerintahan Pas seperti Kelantan diperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion dan Terengganu sebanyak RM1.2 bilion yang merupakan peruntukan perbelanjaan pembangunan yang lebih besar dari Pulau Pinang," kata Ahli Parlimen Bagan itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, Tuan Ibrahim juga telah memainkan sentimen apabila mencadangkan hanya dirinya perlu disingkirkan sebagai menteri Kabinet.

"Permainan sentimen oleh Pas ini selaras dengan pendirian dasar Pas bahawa warganegara bukan Islam tidak layak jadi menteri Kabinet yang menentukan dasar kerajaan, khususnya bagi jawatan penting seperti Menteri Kewangan dan Ketua Menteri.

"Pas kini rasa berani melaksanakan dasar dan sentimen sempit ini, selepas Pas dan Barisan Nasional meraih sokongan kuat daripada pengundi Cina dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai," ujar beliau.

Kelmarin, Tuan Ibrahim menyarankan Guan Eng antara menteri yang perlu digugurkan sekiranya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu melakukan rombakan Kabinet.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas saran gugurkan Menteri Kewangan jika PM rombak Kabinet