Dua militan maut insiden berbalas tembakan di Pattani

No Image Caption
A
A
A

PATTANI - Dua militan dipercayai anggota Barisan Revolusi Nasional (BRN) maut dalam kejadian berbalas tembakan hampir tiga jam dengan pasukan keselamatan di Pattani, Selatan Thailand.

Jurucakap Tentera Divisyen ke-4, Kol Pramote Prom-in berkata, dalam kejadian kira-kira 7.30 malam tadi (8.30 malam tadi waktu Malaysia), dua lelaki yang masing-masing berusia 28 dan 40 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Berdasarkan maklumat perisikan, pihak berkuasa telah mengepung sebuah rumah di Kampung Kuala Pinae di Daerah Nong Chik, yang dipercayai menjadi tempat bersembunyi anggota bersenjata.

“Pasukan keselamatan yang tiba di rumah itu telah meminta mereka yang berada dalam rumah agar menyerah diri tetapi mereka enggan.

“Mereka mula melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan dan menyebabkan berlakunya insiden berbalas tembakan hampir tiga jam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pramote berkata, pasukan keselamatan turut meminta bantuan imam di kampung berkenaan untuk menasihatkan kedua-dua lelaki berkenaan supaya menyerah diri tetapi gagal.

“Selepas insiden berbalas tembak itu tamat, pasukan keselamatan telah menemui dua mayat dan senjata api dalam rumah berkenaan,” katanya.

Difahamkan suspek yang berusia 40 tahun itu dipercayai terlibat dalam serangan di Pos kawalan keselamatan di Yala yang menyebabkan 15 maut pada 5 November lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan: