Pusat hiburan, snuker di Perak bertambah tahun depan

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

IPOH - Pusat-pusat hiburan baharu dan snuker dijangka meningkat di Perak pada tahun hadapan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, peningkatan itu akan membawa kepada pertambahan anggaran hasil dari Fi Lesen Hiburan Billiard dan Lesen Kedai Minuman Keras yang diunjurkan pada tahun 2020.

"Peningkatan hasil ini dijangka berdasarkan unjuran peningkatan permohonan baru ekoran pembukaan pusat-pusat snuker dan hiburan baru. Kerajaan negeri berterima kasih kepada (ADUN) Kota Tampan yang membangkitkan isu ini.

"Bagaimanapun kerajaan negeri mengambil tanggungjawab untuk memantau operasi pusat-pusat berkenaan dan menyemak semula dasar negeri yang berkaitan bagi mengekang masalah sosial," katanya ketika menggulung ucapan Belanjawan Negeri 2020 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Terdahulu, mengenai hasrat kerajaan Perak meningkatkan pendapatan dalam Belanjawan Negeri 2020 melalui pungutan hasil bukan cukai termasuk bayaran lesen billiard dan lesen premis minuman keras dikhuatiri memberi kesan negatif kepada masyarakat.

Ketua Pembangkang Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad berkata, kerajaan dilihat terpaksa mencari pendapatan melalui pungutan hasil bukan cukai selepas unjuran hasil cukai mengalami penurunan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bimbang kedai arak meningkat di Perak

Sementara itu, mengenai dakwaan Saarani terhadap peningkatan anggaran hasil Lesen Perikanan dan Lesen Perahu akan membebankan golongan nelayan, Ahmad Faizal berkata, tidak ada kenaikan fi bagi Lesen Perikanan dan Lesen Perahu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kenaikan unjuran hasil tahun 2020 adalah berdasarkan prestasi sebenar tahun 2018 dan tahun semasa sehingga 31 Oktober 2019 sahaja, yang mana hasil yang dikutip di bawah lesen perikanan dan lesen perahu adalah RM1.09 juta.

"Maka, unjuran hasil kutipan Lesen Perikanan dan Lesen Perahu bagi tahun 2020 meningkat kepada RM1.12 juta. Peningkatan ini disebabkan oleh jeti-jeti perikanan yang telah ditambah baik serta pertambahan bilangan vesel yang mendarat di negeri ini dari negeri lain seperti Kedah, Penang dan Selangor yang berpindah pangkalan ke Perak.

"Ia selaras dengan pencapaian Perak selaku negeri yang mencatatkan pendaratan ikan tertinggi di Malaysia sejak 2010," katanya.