Pasar Malam Padang Selama tarikan baharu penduduk Selama

Mohd Aini(tiga kiri) mengiringi Aminuddin(empat kiri) melawat tapak niaga Pasar Malam Padang Selama, di Selama yang mula beroperasi petang ini.
Mohd Aini(tiga kiri) mengiringi Aminuddin(empat kiri) melawat tapak niaga Pasar Malam Padang Selama, di Selama yang mula beroperasi petang ini.
A
A
A

SELAMA - Pasar Malam Padang Selama, di sini bakal menjadi tarikan baharu di kawasan Dun Selama di sini yang terkenal dengan produk agro pelancongan, dan menjadi tumpuan pengunjung dari serata Parlimen Larut.

Pasar malam berkonsepkan 'Uptown' dilancarkan dan beroperasi sepenuhnya pada hari ini anjuran Pertubuhan Peladang Kawasan(PPK) Selama dengan kerjasama Majlis Daerah Selama(MDS).

Pengurus Besar PPK Selama, Mohd Aini Ahmad berkata, pembukaan pasar malam tersebut bertepatan dengan kawasan di situ yang merupakan destinasi agro pertanian popular.

“Sudah lama kami berhasrat membuka pasar malam di lokasi strategik yang terletak pertengahan pekan Selama dan ini dijangka mampu menjadi tumpuan rakyat Parlimen Larut serta daerah berhampiran.

“Pasar malam ini diharap bakal mendapat sambutan menggalakkan pengunjung memandangkan daerah Selama sememangnya tidak mempunyai satu lokasi tumpuan orang awam pada waktu malam ketika ini," katanya kepada media pada majlis pelancaran Pasar Malam Padang Selama, di sini hari ini.

Aminuddin(tiga kiri) menyempurnakan gimik perasmian operasi perniagaan Pasar Malam Padang Selama petang tadi.
Aminuddin(tiga kiri) menyempurnakan gimik perasmian operasi perniagaan Pasar Malam Padang Selama petang tadi.

Majlis dirasmikan Timbalan Speaker Perak, Aminuddin Zulkipli selain turut dihadiri Yang Dipertua (YDP) MDS, Mohd Amzari Mohd Arzami.

Mohd Aini berkata, pasar malam berkenaan yang menjual pelbagai barangan, bermula dari barangan keperluan harian, sayur-sayuran dan buah-buahan segar hingga barangan antik akan dibuka setiap hari Ahad dari jam 4 petang hingga 10 malam.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kewujudan pasar malam berkenaan memberi peluang kepada penduduk setempat untuk berniaga dan menambah pendapatan masing-masing.

"Pasar malam itu yang kini mempunyai 74 peniaga daripada keseluruhan 80 tapak niaga disediakan dan terus mendapat permintaan daripada ramai peniaga untuk terlibat beroperasi di situ.

"Kita juga tidak mengambil keuntungan berlebihan kerana setiap tapak niaga hanya dikenakan caj RM4 sahaja.

"Selain itu, dengan kerjasama MDK juga akan menganjurkan pelbagai program bagi menarik lebih ramai pengunjung ke lokasi pasar malam berkenaan setiap minggu termasuklah program hiburan sihat dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, penubuhan Pasar Malam Padang Selama bertepatan dengan usaha kerajaan Perak mempelbagaikan lagi produk pelancongan negeri.

“Kita akan terus memberi sokongan padu kepada Pasar Malam Padang Selama termasuk bantuan penyediaan pengisian program bagi mempromosi lokasi ini kerana ianya dilihat signifikan dengan daerah Selama dan bakal menjadi antara produk pelancongan baharu Parlimen Larut," katanya.